Zon Maritim Tanjung Sedili Tekad Sekat Tangkap Hasil Laut Guna Bubu Naga

ZON MARITIM TANJUNG SEDILI TEKAD SEKAT TANGKAP HASIL LAUT GUNA BUBU NAGA

KOTA TINGGI, 30 Disember – Dua unit Bubu Naga yang diharamkan penggunaannya telah dirampas Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) di perairan Johor Timur pada kedudukan 0.2 batu nautika Barat Daya Tanjung Ayam, pagi semalam.

Kepten Maritim Mohd Zulfadli bin Nayan, Pengarah ZMTS berkata, penggunaan Bubu Naga yang banyak digunakan secara haram di Pantai Barat Semenanjung Malaysia telah mula merebak ke Pantai Timur Johor. Bubu Naga diharamkan kerana ianya mampu merosakkan ekosistem perikanan dan secara tidak langsung menjejaskan pendapatan nelayan pesisir.

Walaupun jumlah rampasan kecil namun ia dilihat sebagai satu petanda penularan Bubu Naga ke Pantai Timur Johor.

Kesalahan menggunakan bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Justeru, sebarang aduan atau salah laku jenayah boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 Jam MERS 999 dan Pusat Operasi ZMTS di talian 07 – 8916591.