Yayasan Raja Zarith Sofiah Mendapatkan Sumbangan Rm1 Juta Bagi Membantu Membendung Wabak Covid-19

YAYASAN RAJA ZARITH SOFIAH MENDAPATKAN SUMBANGAN RM1 JUTA BAGI MEMBANTU MEMBENDUNG WABAK COVID-19

Yayasan Amal Ng Teng Fong (Ng Teng Fong Charitable Foundation – NTFCF), dari Singapura menyampaikan sumbangan bernilai RM1 juta menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bagi membantu Malaysia membendung penularan wabak COVID-19.

DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengerusi NTFCF, Encik Robert Ng Chee Siong, di atas sumbangan berkenaan.

“Kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Robert Ng di atas keikhlasan beliau,” titah DYMM Permaisuri Johor kepada Royal Press Office (RPO), hari ini (1 April).

Baginda bertitah, sumbangan berkenaan amat dihargai, terutama ketika negara kini sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19.

DYMM Permaisuri Johor bertitah, sebahagian besar sumbangan itu berperanan penting untuk digunakan bagi memperoleh segala keperluan perlindungan bagi petugas perubatan barisan hadapan dan mesin perubatan bagi hospital di seluruh Malaysia.

“Saya akan mendapatkan nasihat serta maklumat dari Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Aman Rabu dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Encik Hishamuddin Abdul Rahim bagi membolehkan sumbangan disampaikan mengikut keperluan,” titah Baginda.

NTFCF ditubuhkan dalam kenangan Encik Ng Teng Fong yang merupakan seorang ahli perniagaan terkenal, di mana anak beliau Encik Robert Ng Chee Siong juga merupakan seorang ahli perniagaan terkemuka di Singapura.

“Ng Teng Fong Charity Foundation gembira dalam menyampaikan sumbangan ini bagi membantu Malaysia memerangi wabak COVID-19. Kami turut berdoa untuk kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dalam situasi sebegini,” kata Encik Robert Ng.

Gambar fail : DYMM Tuanku Permaisuri Johor melawat pesakit kanser di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru pada November tahun lalu.

YAYASAN RAJA ZARITH SOFIAH MENDAPATKAN SUMBANGAN RM1 JUTA BAGI MEMBANTU MEMBENDUNG WABAK COVID-19 Yayasan Amal Ng Teng…

Posted by The Royal Johor on Selasa, 31 Mac 2020