YAB Perdana Menteri Telah Melakukan Lawatan Rasmi Dua Hari Ke Negeri Johor

Program ini adalah yang pertama dalam rangka lawatan rasmi ke negeri-negeri sejak Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lepas.

Jadual hari ini dimulakan dengan menghadap Kebawah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah di Istana Bukit Serene, sejurus mendarat di Pangkalan Udara Senai.

Program disusuli dengan sesi perjumpaan dan townhall Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri di sebuah hotel di Johor Bahru.

Sesi itu memberi peluang kepada Perdana Menteri berkongsi aspirasi kerajaan kepada kakitangan awam selaku kumpulan pelaksana dan katalis yang menggerakkan dasar serta perancangan negeri dan negara.

Perdana Menteri turut melahirkan harapan agar penjawat awam melakukan anjakan dalam suasana norma baharu dengan mengurangkan birokrasi bagi membantu usaha memulihkan ekonomi negara.

Pada sesi soal jawab, Perdana Menteri turut mengingatkan perlunya untuk meningkatkan kapasiti bidang teknologi maklumat di negara ini.

Beliau turut memaklumkan hasrat beberapa pakar dari luar negara untuk membantu Malaysia memajukan bidang ICT di dalam negara dan rantau, antaranya syarikat Google, Amazon dan Microsoft.

Perdana Menteri kemudiannya menyertai golongan belia pada majlis sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor.

Ini merupakan kali pertama acara tahunan yang dianjurkan kerajaan bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan pertubuhan belia dalam pembangunan golongan itu di negara ini diadakan di luar kawasan Lembah Klang.

Perdana Menteri menekankan golongan belia adalah sangat signifikan dan mempengaruhi setiap aspek perancangan pembangunan negara, mengambil kira populasi mereka yang kini melebihi separuh daripada keseluruhan 32.6 juta penduduk Malaysia.

Perdana Menteri merakamkan penghargaan kerajaan terhadap peranan yang dimainkan belia ketika negara berdepan penularan COVID-19 yang mana sebahagian besar petugas barisan hadapan adalah terdiri daripada golongan tersebut.

Beliau juga memuji langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan Anugerah Wira Tidak Didendang atau Unsung Heroes, khusus bagi menghargai sumbangan anak muda yang menjadi barisan hadapan sepanjang pandemik COVID-19.

Program rasmi hari pertama Perdana Menteri diakhiri dengan melakukan tinjauan atau walkabout di B5 Johor Street Market, iaitu pusat pelancongan runcit yang mempromosikan aktiviti seni dan kebudayaan.

Di situ, Perdana Menteri dapat melihat sendiri aktiviti keusahawan penduduk tempatan berlangsung selain mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi peniaga susulan penularan wabak COVID-19.

Esok, Perdana Menteri dijadualkan melawat kawasan pembangunan pelancongan Desaru Coast serta mendengar taklimat mengenai pembangunan kawasan tersebut.

 32 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?