“Tunku Mahkota Johor” Jangan Cemari Masjid, Surau Dengan Anasir Kerosakan

TUNKU MAHKOTA JOHOR: JANGAN CEMARI MASJID, SURAU DENGAN ANASIR KEROSAKAN

DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan umat Islam di Johor supaya sentiasa menjaga kesucian masjid dan surau di negeri ini daripada sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan kesatuan ummah.

Baginda bertitah masjid perlu dihindarkan daripada sebarang anasir sedemikian dan hanya perkara berkaitan Agama Islam dan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dijadikan pengisian untuk ceramah, tazkirah, khutbah dan kuliah di masjid dan surau.

“Kepada mereka yang ingin berceramah tentang agama Islam di negeri Johor – pertamanya, mesti memiliki tauliah dan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Kedua, sentiasa peka dan prihatin dengan isu-isu semasa – bukan berceramah mengikut hati seolah-olah mewujudkan was-was serta mencalarkan lagi keharmonian dan kekukuhan umat Islam di negeri Johor.

“Begitu juga penceramah dari parti politik, walaupun memiliki kelulusan bidang agama tetapi disebabkan kecenderungan pada parti politik tertentu boleh menyebabkan ceramah itu cenderung kepada politik,” titah Baginda.

Tunku Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Multaqa Ulama Darul Ta’zim Kali Ketujuh di PERSADA, Johor Bahru hari ini (25 April).

Baginda berangkat sebagai wakil rasmi DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Turut berangkat, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Pada majlis itu, Tunku Ismail turut berkenan menyempurnakan pelancaran Majlis Halal Negeri Johor yang akan diselia oleh MAINJ.

“Industri halal kini merupakan perkara penting kepada sebuah negeri yang maju. Ia merupakan salah satu syiar Islam yang menjadi tuntutan dan perlu ditadbir urus dengan teratur dan baik.

“Majlis Halal Negeri Johor ini akan berfungsi bagi mengawal industri halal, serta mempromosikan produk-produk halal Johor ke pasaran yang lebih meluas,” titah Baginda.

MAJLIS MULTAQA ULAMA JOHOR DARUL TA’ZIM

Video:-

Bismillah. Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim wakil rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluknya yang berkenan berangkat mencemar duli merasmikan Majlis Multaqa Ulama Darul Ta’zim Kali Ke-7 sebentar tadi.

Majlis Multaqa’ yang dilaksanakan ini adalah terjemahan komitmen yang berterusan kerajaan negeri bagi meninggikan syiar Islam yang berpegang teguh kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah dan seterusnya mengangkat martabat para ulama’ di negeri Johor Darul Ta’zim.


Di majlis sama juga, telah diumumkan penubuhkan Majlis Halal Negeri Johor yang berkuatkuasa pada 20 Mac lalu bagi memudahkan rakyat di negeri ini mendapatkan perkhidmatan produk halal tanpa rasa was-was.

Objektifnya adalah untuk merangka dasar-dasar berkaitan Pensijilan Halal di Negeri Johor agar semua industri memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang diiktiraf diperingkat antarabangsa.

” Muafakat itu berkat ”

” Saya akan terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat ”

Dato’ Dr Sahruddin Jamal | Menteri Besar Johor

Sumber : Dato’ Dr Sahruddin Jamal