TMJ Ucap Tahniah Dan Syabas Kepada Setiap Anak Muda Johor

Alhamdulillah Southern Volunteers telah bergerak membantu di semua pusat-pusat vaksinasi di dalam negeri Johor.

Antara peranan mereka adalah membantu warga emas dan orang kelainan upaya, membantu sesi pendaftaran di Pusat Vaksinasi, dan membuat panggilan menghubungi penerima vaksin dan sebagainya.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada setiap anak muda Johor yang menawarkan khidmat bakti di kala negeri Johor memerlukan bantuan saudara-saudari. Sumbangan tenaga dan masa belia untuk negeri ini tidak ternilai dan amat saya hargai.

Esok pula, akan bermulanya fasa kedua gerak kerja Southern Volunteers. Para belia akan digerakkan untuk membantu di peringkat akar umbi bersama KKM, Pegawai Daerah, Dato Bandar, YDP Pihak Berkuasa Tempatan dan Ketua Ketua Kampung dalam usaha meningkatkan angka Pendaftaran Vaksin bagi rakyat Johor.

Nasihat saya kepada Southern Volunteers adalah supaya patuhi SOP dan jaga diri masing-masing. Semoga usaha kita semua akan diberkati dan dirahmati ALLAH SWT.

Terima Kasih atas kerjasama Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah, Datuk Bandar dan Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Sukan Negeri Johor, Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor (JOYDEC), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Sekretariat Sukma, Institut Dato Onn, Majlis Belia Negeri Johor dan semua pertubuhan belia serta pertubuhan bukan kerajaan yang turut menggembleng tenaga menggerakkan Southern Volunteers bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Negeri Johor.

Insya-Allah kita mampu mencapai sasaran vaksinasi 3 juta Bangsa Johor pada hujung bulan Oktober ini jika seluruh Bangsa Johor bersama-sama bermuafakat menjayakan agenda ini.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Komen Anda?