TMJ Berhasrat Membina ‘Youth Centre’ Di Setiap Daerah Di Negeri Johor

TMJ rancang wujudkan pusat belia di seluruh Johor

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bercadang mewujudkan Youth Centre atau pusat belia di setiap daerah di Johor sebagai visi baginda membangunkan belia Johor menjadi modal insan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkebolehan.

Dalam hantaran terbaru di laman sosial Facebook baginda, Tunku Ismail bertitah, Johor Youth Centre berperanan menjadi pusat pembangunan belia perdana di Johor dan membuka ruang yang kondusif memperkasakan sekali gus membolehkan belia Johor mencungkil bakat untuk perkembangan peribadi, serta menuju ke arah kejayaan hidup serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan belia.

Youth Centre itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pusat latihan untuk bengkel kemahiran, kursus dan seminar, selain aktiviti sukan dan luar, kesenian serta kebudayaan.

“Ini bermaksud, Youth Centre akan menjadi tumpuan aktiviti membabitkan belia di Johor untuk memastikan hala tuju dan kualiti kandungan aktiviti adalah selaras dengan taraf sedunia,” titahnya, hari ini.

Sebagai permulaan, baginda sudah memanggil Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pegawai Daerah Muar dan Mersing untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai pembinaan dua lagi Johor Youth Centre di daerah berkenaan.

Titahnya, projek itu sangat dekat di hati baginda kerana golongan belia kini menghadapi pelbagai cabaran hidup yang unik dan berlainan berbanding generasi sebelum ini.

“Belia Johor memerlukan ruang yang kondusif dan inklusif untuk pengembangan diri, dan saya harap matlamat ini dapat direalisasikan melalui pembinaan Johor Youth Centre.

“Saya berdoa agar segala urusan mengenai pembinaan Youth Centre di Johor dipermudahkan untuk memberi manfaat yang terbaik kepada anak Johor dengan kerjasama kerajaan negeri, jabatan dan agensi yang berkaitan,” titahnya.

Pada 19 September lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Tunku Ismail akan mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di Johor.

Sumber : Harian Metro

Menjunjung titah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor untuk membina ‘Youth Centre’ di setiap daerah di negeri Johor.

InsyaAllah YAB MB Johor, patik dan seluruh kerajaan negeri Johor akan berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikan visi dan hasrat murni tersebut demi kebaikkan belia-belia di Negeri Johor.

Patik dan semua Belia Johor akan sentiasa berdiri teguh dibelakang DYAM Tunku dalam memacu dan membangunkan Belia Johor.

Semoga Allah sentiasa memberkati Johor.

Allah Peliharakan Sultan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor pada 19 September 2020 telah bertitah supaya saya mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di Johor. Menjunjung titah Tuanku Sultan, saya telah memulakan perancangan untuk mencari kaedah-kaedah, program-program dan pembaharuan yang akan memanfaatkan belia-belia Johor dengan impak yang besar dan positif serta menolong menangani isu-isu penting yang sedang mereka hadapi.

Salah satu idea utama yang sangat penting adalah untuk membina ‘Youth Centre’ di setiap daerah di negeri Johor. Ini adalah sebahagian daripada visi saya untuk membangunkan belia Johor untuk menjadi modal insan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkebolehan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Johor Youth Centre berperanan menjadi pusat pembangunan belia perdana di negeri Johor dan membuka ruang yang kondusif untuk memperkasakan dan membolehkan belia Johor untuk mencungkil bakat untuk perkembangan peribadi dan menuju ke arah kejayaan hidup serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat belia.

‘Youth Centre’ akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pusat latihan untuk bengkel kemahiran, kursus dan seminar. Selain itu, aktiviti-aktiviti sukan dan luar, kesenian dan kebudayaan turut akan dianjurkan di ‘Youth Centre’. Ini bermaksud ‘Youth Centre’ akan menjadi tumpuan aktiviti-aktiviti yang melibatkan golongan belia di Johor untuk memastikan hala tuju dan kualiti kandungan aktiviti adalah selaras dengan taraf sedunia.

Belia Johor adalah masa hadapan negeri tercinta kita dan juga negara kita. Kita perlu melabur lebih daripada dana sahaja. Kita perlu melabur masa, usaha dan komitmen untuk membimbing anak-anak muda ini untuk berjaya dalam hidup mereka.

Sebagai permulaan dalam menyumbang kepada pembangunan belia di negeri Johor, saya telah memanggil Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pegawai Daerah Muar dan Mersing untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai pembinaan dua lagi Johor Youth Centre di daerah-daerah tersebut.

Projek ini sangat dekat di hati saya kerana golongan belia kini menghadapi pelbagai cabaran hidup yang unik dan berlainan berbanding generasi sebelum ini. Masa kini sudah berubah, maka pendekatan untuk mengatasi cabaran hidup juga perlu diubahsuai. Belia Johor memerlukan ruang yang kondusif dan inklusif untuk pengembangan diri, dan saya harap matlamat ini dapat direalisasikan melalui pembinaan Johor Youth Centre.

Hasrat saya adalah untuk membina satu ‘Youth Centre’ untuk setiap daerah di negeri Johor supaya semua belia Bangsa Johor dapat menikmati kemudahan ini tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Inilah semangat Bangsa Johor yang dizahirkan oleh ayahanda Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor.
Saya berdoa agar segala urusan mengenai pembinaan ‘Youth Centre’ di Johor dipermudahkan untuk memberi manfaat yang terbaik kepada anak-anak Johor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang berkaitan.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Daulat Tuanku

Komen Anda?