Tiga Negeri Beralih Fasa

Hari ini, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan juga telah diberi kebenaran untuk beralih ke fasa seterusnya. Selain itu, bermula esok, operasi premis perniagaan seperti kedai runcit, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dipanjangkan bermula dari jam 6 pagi hingga 12 malam.

Tiga negeri beralih fasa, beberapa sektor dibuka

Kuala Lumpur: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan peralihan fasa bagi tiga negeri dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada beberapa sektor.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor masing-masing akan beralih kepada Fasa 4, Fasa 3 dan Fasa 2 berkuat kuasa Jumaat ini.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.

“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SOP bagi negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini dan keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, berkuat kuasa esok, semua kedai runcit termasuk market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam.

“Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang sudah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober ini.

“Pusat, premis atau produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober ini dengan semua pengusaha, operator, pelawat dan pengunjung lengkap divaksin,” katanya.

Katanya, pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat KKM.

“Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

“Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warga negara adalah percuma,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyeru dengan kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Komen Anda?