Thailand Mengesahkan Kejuaraan Piala AFF Suzuki Cup 2020

Indonesia mendahului namun gagal memastikan mereka sekurangnya menang perlawanan kedua ini.

Tahniah pasukan Thailand kerana menjuarai AFF Suzuki Cup 2020! 👏🏼🏆⚽️

Thailand juara, Indonesia kempunan lagi

KUALA LUMPUR: Thailand mengesahkan kejuaraan Piala AFF 2020 menjadi milik mereka selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 6-2 di pentas final.

Thailand yang mencipta kemenangan selesa 4-0 pada final pertama, Rabu lalu terus mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan kali ini apabila terikat 2-2 dengan Indonesia pada final kedua di Stadium Nasional, Singapura, sebentar tadi.

Skuad Gajah Perang bagaimanapun cemas di awal permainan apabila Indonesia mendapat gol pertama seawal minit kelapan selepas rembatan Ricky Kambuaya gagal ditangkap kemas penjaga gol, Siwarak Tedsungnoen.

Anak buah Alexandre Polking terpaksa menunggu pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak dekat pemain gantian, Adisak Kraisorn pada minit ke-54.

Hanya dua minit kemudian, gawang Indonesia bocor lagi dan kali ini hasil rembatan deras Sarach Yooyen yang tertampan pertahanan Garuda sebelum menerjah jaring.

Meskipun ketinggalan jauh dari segi agregat, Indonesia bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Egy Maulana Vikri pada minit ke-80 dengan kedudukan 2-2 itu kekal hingga tamat permainan.

Ia adalah kejuaraan keenam yang diraih skuad Gajah Perang di pentas Piala AFF selepas muncul juara pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016.

Berbeza dengan Thailand yang memegang rekod pemenang terbanyak Piala AFF, kegagalan Indonesia mencipta keajaiban pada final kedua menyaksikan mereka terus kempunan untuk menjulang trofi ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu dengan pencapaian terbaik bergelar naib juara sebanyak enam kali..

Sumber : Berita Harian

Komen Anda?