TFC, JDT Berentap Separuh Akhir

Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Seawal minit kesembilan pasukan tuan rumah dihidangkan peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan selepas bola lorongan Arif Aiman Hanapi ke dalam kotak penalti tepat kepada De Paula namun dia menyepak bola tinggi melepasi palang gol.null

Sepanjang 20 minit babak pertama, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tampak lebih gemar berkampung di kawasan sendiri bagi mengelak skuad Harimau Selatan melakukan percubaan berbahaya ke kubu pasukan Lang Merah.

Lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, JDT akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan menerusi jaringan Arif Aiman menewaskan Shahril pada minit ke-40 setelah mendapat umpanan cantik Leandro.

De Paula hampir menambah jaringan buat juara bertahan Piala Malaysia itu namun percubaannya dari jarak dekat dinafikan oleh Shahril dengan menguis keluar percubaan berbahaya itu.

Bersambung babak kedua, Arif Aiman yang berada di prestasi terbaiknya cuba mencari ruang untuk menambah jaringan menerusi gerakan solo dari sayap kanan namun rembatan lencongnya gagal menewaskan Shahril pada minit ke-48.

Arif Aiman sekali lagi mendatangkan cemas buat pasukan Kedah tetapi percubaannya kali dinafikan Shahril yang bertindak cemerlang memastikan gawang tidak lagi dibolosi.

Shahril terus mempamerkan aksi cemerlang menjaga gawang dengan menyelamatkan sepakan percuma Leandro pada minit ke-61.

Mora yang membuat pertukaran dengan membawa masuk Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh menggantikan pemain terbaik perlawanan, Arif Aiman dan Cabrera gagal menambah jaringan buat JDT.

Kedah yang hanya memerlukan satu jaringan untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya dilihat berdepan laluan sukar setelah tidak ada percubaan berbahaya dilakukan bagi menguji kecekapan Farizal Marlias.

Kemenangan itu menyaksikan JDT akan menentang Terengganu FC pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Nerus, Isnin ini yang bakal menjanjikan pertembungan menarik membabitkan kedua-dua pasukan.

👏 Tahniah kepada empat pasukan yang layak ke separuh akhir TM Piala Malaysia 2021! 🏆

Aksi separuh akhir akan berlangsung pada 22 dan 26 November nanti.

Komen Anda?