Tersentuh Hati Kecil Ini Bila Pertama Kali Bersua Mata Dengan Anakanda Khairunnisa

“BILA Khairunnisa dah berjaya nanti, jangan lupa bawa mak ayah jumpa pakcik ya!”

Demikian pesanan yang dititipkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri buat murid Tahun Satu, Nur Khairunnisa’ Fadhilah Mohammad Haizir.

Kisah Nur Khairunnisa’ Fadhilah tular di internet baru-baru ini gara-gara fotonya yang memimpin tangan ibu bapanya yang cacat penglihatan sewaktu sesi orientasi di sekolah dan ia sangat menyentuh hati netizen.

Tersentuh hati kecil ini bila pertama kali bersua mata dengan anakanda Khairunnisa. Ditakdirkan untuk beribubapakan pasangan OKU cacat penglihatan, itulah hikmah daripada-Nya untuk membentuk jiwa yang besar pada anak kecil ini. ⁣⁣⁣⁣

Usianya langsung tidak menggambarkan kematangannya yang amat mengagumkan kami. Ibu bapanya En. Haizir dan Puan Nur Suhaida pastinya berbangga memiliki anak sehebat ini. Benarlah kata seorang ibu, “Nur Khairunnisa adalah mata dan tongkat kami.” ⁣⁣⁣⁣

Kepada pihak sekolah khususnya Guru Besar SK (P) Jalan Batu iaitu Puan Ranjini dan guru-guru Khairunnisa, kami ucapkan tahniah kerana terpilih untuk memikul amanah mendidik beliau. Kami yakin dengan usaha yang jitu daripada pihak sekolah dan PIBG, beliau akan menjadi sehebat namanya “Khairunnisa (Sebaik-baik perempuan)”. ⁣⁣

Terima kasih juga kepada Ustaz Jaafarudin bin Md Ali, Ketua Pegawai CSR, Menteri Besar Selangor Incorporated atas kesudian untuk turut hadir memberi sumbangan.⁣

Kami doakan anakanda Khairunnisa menjadi anak yang solehah, berjaya dalam hidup dan membanggakan kedua ibu bapa. Doa yang sama jua untuk anak-anak kita. ⁣⁣

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ⁣⁣

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah untuk kami daripada pasangan-pasangan kami dan zuriat-zuriat kami penyejuk mata-mata kamu dan jadikanlah kami pemimpin ikutan orang-orang bertaqwa”⁣⁣

Bila Khairunnisa dah berjaya nanti, jangan lupa bawa mak ayah jumpa pakcik ya!

Komen Anda?