Tangkak Kawasan Pertama Tidak Sihat Di Johor Berdasarkan Bacaan IPU

JOHOR BAHRU: Daerah Tangkak merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 113 pada jam 12 tengah hari tadi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

Beliau berkata, orang ramai dinasihat mengambil langkah pencegahan termasuk memakai penutup hidung ketika berada di luar rumah bagi mengelak masalah pernafasan dan penyakit mata atau konjunktivitis akibat keadaan jerebu itu.

“Orang ramai juga dinasihat meminum air secukupnya untuk memastikan tubuh kekal hidrasi.

“Semua sekolah dan ibu bapa di kawasan Tangkak perlu memantau keadaan murid terutama calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang masih berlangsung sehingga esok (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chen Choon berkata, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka dan tindakan tegas akan diambil agensi berkaitan terhadap mereka yang berbuat demikian.

Beliau turut meminta kerjasama semua pihak menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka kepada Majlis Daerah Tangkak dan bomba dengan segera.

Facebook Comments