Tan Cheng Hoe Lepas Jawatan Ketua Jurulatih Kebangsaan

Terima kasih Cheng Hoe yg telah berkhidmat 14 tahun bersama FAM. Jasa dan sumbanganmu akan sentiasa dikenang. Semoga berjaya dlm meneruskan karier kejurulatihan selepas ni. 🙏🏽

Cheng Hoe letak jawatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa Tan Cheng Hoe membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan Cheng Hoe sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasrat itu berikutan kegagalan Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.

Katanya, selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan berkenaan dan bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya sudah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

“Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Skuad Harimau Malaya tersingkir awal dari Piala Suzuki AFF 2020 selepas menduduki tangga ketiga Kumpulan B, sekali gus gagal mencapai sasaran yang ditetapkan untuk layak ke final.

Sumber : Berita Harian

Komen Anda?
%d bloggers like this: