Tahukah Anda!! Gagal Tunai Nafkah, Aiman Dipenjarakan

GAGAL TUNAI NAFKAH, AIMAN DIPENJARA

Hari itu sudah dua minggu Aiman Hadzim tersandar lesu di dinding penjara. Dikurung dalam ruangan tidak berjendela sudah cukup membuatkan Aiman resah dan terdera secara psikologi. Masakan tidak,biasanya Aiman bebas bergerak ke sana dan ke sini tanpa sekatan. Sementelahan pula, ini adalah kali pertama Aiman dipenjarakan. Tidak pernah walau dalam sekali pun terlintas dalam fikiran Aiman dirinya akan dikenakan tindakan sedemikian.

“Aku bukan penjenayah.”

“Aku tak buat salah besar!”.

“Setakat tak bayar nafkah je pun!.”

Itulah monolog biasa Aiman sejak dari hari pertama menghuni penjara Kluang, Johor. Tidak jalankan tanggungjawab membayar nafkah dianggapnya perkara remeh. Dan memang begitulah perangai Aiman. Sikapnya yang gemar sambil lewa dalam semua perkara telah menjerat dirinya, bahkan telah menyusahkan ahli keluarganya yang lain. Bercerita tentang ahli keluarga Aiman, ibu adalah segala-galanya bagi Aiman. Panggilan anak emas, anak manja sudah terlalu biasa dan tidak langsung menjejaskan telinganya yang capang. Aiman akan menggelabah jika apa-apa terjadi kepada ibunya. Abang sulongnya pula (Aizat) selalu menjadi penyelamat Aiman bila apa-apa berlaku kesan sikap sambil lewanya. Pernah suatu hari ketika umur Aiman belasan tahun, Aiman bermain mercun di dalam rumah. Entah bagaimana langsir tiba-tiba terbakar. Mujur tidak merebak satu rumah. Mujur juga ketika itu ayahnya (Pak Rosli) tiada di rumah sebab keluar ke Masjid. Setelah ayah pulang, dan bersoal siasat, seperti biasa, abang dan ibu Aiman akan buat ‘cover up’.

Menyesal juga Aiman kerana tak patuh perintah Mahkamah Syariah. Mengikut pandangan sambil lewanya, tidak akan ada apa-apa yang terjadi sekiranya dia tidak membayar nafkah dua orang anaknya. Bekas isteri Aiman (Rihanna) pula tiada pilihan lain selain membuat tuntutan melalui Bahagian Sokongan Keluarga Johor (BSK Johor). Rihanna bukanlah orang senang, sementara ada agensi yang boleh bantu secara percuma, Rihanna tidak berfikir dua kali. Rihanna merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan memandangkan Aiman langsung tidak pernah menafkahi dan menjenguk anak-anaknya. Sakit pening anak-anak juga tidak pernah dipedulikan.

Apabila Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mengumumkan keputusan menggantung pelaksanaan hukuman penjara selama 30 hari dan memberikan Aiman masa satu minggu, sepatutnya Aiman menggunakan kesempatan itu mencari wang bagi menyelesaikan tunggakan nafkahnya yang berjumlah RM20,000.

Namun, Aiman tetap Aiman.

Aiman menyandarkan kepalanya di antara dua besi penjara dan kedua tangannya menggenggam kemas kedua besi berwarna hitam itu. Sesekali dahinya dihantukkan pada batang besi tersebut menandakan dirinya sedang berasa kesal. Matanya tidak lagi bisa menampung air mata. Bagaikan empangan pecah, air matanya mencurah-curah. Kekesalan Aiman ini berpusat pada sikapnya yang acuh tak acuh perihal nafkah anak-anaknya dan apa yang menimpa ibunya. Sewaktu Aiman ditangkap oleh pihak polis untuk dibawa ke penjara, ibunya terkena serangan jantung dek terlalu terkejut. Walaubagaimanapun, ibunya disahkan tidak kritikal dan berada dalam keadaan stabil.

“Semua ini takkan terjadi kalau aku lebih bertanggungjawab”, ujar Aiman sambil genggaman tangannya dikuatkan.

Sedang asyik mengenangkan nasib diri, tiba-tiba muncul kelibat seseorang berpakaian seragam. Ternyata rupanya Pegawai Penjara.

“Encik Aiman Hadzim bin Rosli, anda dibebaskan”, tutur Pegawai Penjara berkumis nipis dan bersuara parau tersebut.

Pegawai Penjara memaklumkan kepadanya bahawa Pegawai BSK Johor telah mengesahkan abang sulong Aiman yang telah bertindak melangsaikan hutang nafkah kepada bekas isteri Aiman.

Dengan apa yang berlaku pada Aiman, dia telah bertekad untuk berubah dan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap nafkah dua orang anaknya. Dia tidak mahu lagi menyusahkan orang lain. Perintah Mahkamah Syariah tidak akan sesekali dia abaikan. Baginya apa yang berlaku seharusnya dijadikan sebagai pengajaran.

“Cukuplah”, getus hatinya.

***

Enam bulan selepas dibebaskan, Aiman dilihat lebih bersemangat dengan kerjaya baharunya, rezekinya bertambah murah sejak mula konsisten membiayai nafkah anak-anaknya.

Di suatu sudut kafeteria di tempat kerjanya, seusai menikmati makan tengah hari, Aiman mencapai telefon bimbitnya. Dari senarai menu yang tertera, dipilihnya aplikasi mudah alih perbankan internet berlogokan kepala harimau yang telah dimuat turun bagi memudahkannya melakukan transaksi.

Pada ruangan ‘payment details’ ditaipkan ‘Nafkah Anak’ dan sejurus selepas itu perlahan-lahan jari telunjuknya menyentuh butang ‘proceed’.

“Alhamdulillah”, bisiknya lembut.

-Tamat-

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (Surah Al-Talaq ,ayat 7).

Sumber : Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor

Komen Anda?