Tahniah Malaysia Juara Hoki Piala Sultan Azlan Shah

Pasukan Hoki Malaysia berjaya menjulang Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama selepas menewaskan pasukan Korea Selatan 3- 2

Arena hoki negara meraikan malam penuh bersejarah apabila Malaysia muncul juara buat kali pertama Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas menamatkan penantian 39 tahun, sebentar tadi. 

Di petik dari laman Berita Harian, Skuad Speedy Tigers seperti diramal beraksi seakan ‘harimau kelaparan’ di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Perak, menewaskan penyandang juara Korea Selatan 3-2 sekali gus membalut kekecewaan tewas 0-3 pada aksi pertama, sebelum ini.

Final edisi ke-29 kali ini bermula dengan langkah berhati-hati daripada kedua-dua pasukan pada suku pertama sebelum anak buah Arul Selvaraj membuka langkah dengan melakukan serangan namun percubaan Shello Silverius pada minit ke-13 berjaya diselamatkan penjaga gol Korea Selatan, Kim Jaehyeon.

Tidak berapa lama kemudian, Shello berjaya membolos gawang gol lawan pada minit ke-15 selepas menerima hantaran Faiz Helmi Jali namun keputusan itu tidak bertahan lama dengan Korea Selatan bangkit menyamakan kedudukan selang seminit selepas itu. 

Korea Selatan menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi Jang Jonghyun yang berjaya meledak gol tuan rumah menerusi pukulan sudut penalti. 

Malaysia yang berada diranking ke-10 dunia, hampir berada di hadapan semula pada minit ke-23 namun hantaran Najib Abu Hassan tidak berjaya ditampan dengan baik oleh Norsyafiq Sumantri.

Stadium kembali dalam senario penuh dramatik pada baki terakhir suku ketiga apabila Malaysia meraih penalti stoke sebelum ia berjaya disempurnakan Muhammad Razie Abdul Rahim untuk meletakkan skuad negara berada di depan 2-1 pada minit ke-45. 

Momentum itu seterusnya berjaya menaikkan moral pemain negara untuk terus memburu jaringan dan hasilnya, Malaysia berjaya menambah jaringan pada minit ke-48 menerusi Muhammad Aminuddin Mohd Zain menerusi jaringan padang. 

Selang beberapa minit kemudian, Malaysia meraih pukulan sudut penalti namun tidak berjaya disempurnakan dengan baik oleh Aminuddin yang terus dahagakan jaringan. 

Pada baki empat minit terakhir, Razie dilayangkan kad kuning dan susulan itu, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu terpaksa melihat saingan dari bangku pemain.

Korea Selatan terus melakukan serangan pada detik akhir perlawanan dan mereka berhasil menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jeon Byungjin pada minit ke-58. 

Begitupun, jaringan itu agak terlewat untuk menafikan kejuaraan sulung negara dengan Malaysia meraih kemenangan 3-2. 

Untuk rekod, pencapaian terbaik negara sejak kali pertama kejohanan ini dianjurkan pada 1983 adalah menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Pada edisi 2014, Malaysia tewas 8-3 di tangan Australia yang pada ketika ini mempunyai 10 koleksi kejuaraan dengan kali terakhir pasukan ranking pertama dunia itu meraih gelaran pada 2019 ketika menewaskan England, 2-1.

Selain itu, Malaysia turut pernah meraih tempat ketiga sebanyak dua kali iaitu pada 1996 dan 2019 dan tujuh kali penamat di tempat keempat, masing-masing pada 1983, 1987, 1994, 2000, 2010, 2016 dan 2018.

Sumber : Berita Harian

#LuaskanKuasamuJohor

PERHATIAN:- Pihak kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yg diberikan oIeh pembaca kami. Komen itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik akaun Facebook tersebut.

Ikuti juga artikel menarik yang kami kongsikan di bawah ini.

Komen Anda?