Tahniah Johor, Sukma 2022 Melabuhkan Tirai

TAHNIAH JOHOR DARUL TA’ZIM!

Syukur Alhamdulillah. Johor hari ini mencipta sejarah apabila berjaya menjadi Juara buat pertama kalinya dalam 36 tahun penganjuran SUKMA.

Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 secara rasminya melabuhkan tirai pada malam ini selepas lebih seminggu berlangsung di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan juga Pulau Langkawi, Kedah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan penutupnya di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malam ini, berkata, penganjuran Sukma kali ini amat istimewa selepas empat tahun tidak dianjurkan disebabkan pandemik Covid-19.

Malah, beliau turut berpuas hati apabila penganjuran temasya kali ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan selain bersyukur penganjurannya berjalan dengan lancar biarpun masih terdapat beberapa kekurangan.

“Barangkali ia tidak sempurna seperti kita semua harapkan. Namun, saya berpuashati kerana segala permasalahan atau isu berbangkit diselesaikan dengan sebaik mungkin disulami semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya yakin, untuk edisi yang seterusnya, tidak kira negeri mana pun menjadi tuan rumah, penganjuran Sukma akan terus berlangsung dengan meriah dan jayanya. InsyaAllah,” katanya.

Selain itu, beliau turut gembira dengan liputan meluas yang diterima daripada media massa dan juga media sosial kerana difahamkan keseluruhan video yang dimuatnaik di aplikasi TikTok, berjaya mencapai lebih 38 juta tontonan.

“Lihat saja bagaimana begitu teruja atlet muda kita setiap kali wajah mereka muncul di kaca televisyen. Jadi bayangkan, betapa begitu bersemangat mereka, jika media memberi liputan menyeluruh terhadap hasil usaha dan titik peluh mereka.

“Saya berharap, di masa akan datang Sukma akan terus diberikan liputan menyeluruh oleh pihak media,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Brunei turut menghantar kontinjen bagi menyertai temasya kali ini.

“Penyertaan Brunei sememangnya memeriahkan lagi penganjuran Sukma selain merapatkan hubungan kedua-dua negara. Harapan saya, lebih banyak lagi kerjasama pembangunan sukan bakal terjalin di masa depan di antara Malaysia dan Brunei,” katanya.

Tambahnya, Sukma 2022 tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada pemegang taruh seperti kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri, agensi dan penaja dan paling utama, Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (Satria) yang menjadikan temasya kali ini berlangsung dengan lancar.

Terdahulu, Sukma 2022 menutup tirainya dengan menyaksikan kontinjen Johor muncul juara keseluruhan dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa manakala Terengganu berada di tangga kedua, 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.

Sumber : HM

Kontinjen Wilayah Persekutuan berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa manakala Sarawak di tangga keempat, 32 emas, 42 perak dan 53 gangsa.

#LuaskanKuasamuJohor

PERHATIAN:- Pihak kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yg diberikan oIeh pembaca kami. Komen itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik akaun Facebook tersebut.

Ikuti juga artikel menarik yang kami kongsikan di bawah ini.

Komen Anda?