Tahniah JDT Atas Majlis Perasmian Stadium Sultan Ibrahim – FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) atas perasmian stadium baharu iaitu Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Stadium Sultan Ibrahim ini adalah stadium bola sepak (iaitu tanpa trek balapan) kedua dibina di Malaysia selepas adanya Stadium Tun Abdul Razak di Pusat Bandar Jengka, Maran, Pahang pada 2015 buat Felda United.

Kedua-dua stadium ini mampu memartabatkan lagi bola sepak negara.

Majlis perasmian Stadium Sultan Ibrahim disempurnakan oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Hadir sama Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dengan diiringi barisan exco FAM.

“Kami di FAM berbesar hati menerima jemputan menyaksikan hari bersejarah JDT dan amat berharap selepas Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tun Abdul Razak, akan ada lebih banyak stadium bola sepak yang dibina dan dimiliki oleh kelab bola sepak itu sendiri pada masa akan datang.

“Dengan fasilitinya dan kemudahan yang ada, pastinya stadium ini menjadi mercu tanda JDT malah usaha ini mampu melonjakkan pembangunan bola sepak tempatan serta negara.

“FAM mengucapkan ribuan terima kasih di bawah jemputan dan sekalung tahniah kepada JDT dan JOHOR Southern Tigers atas perasmian stadium baharu, Stadium Sultan Ibrahim,” kata Datuk Haji Hamidin.

Pasukan skuad Harimau Selatan bakal memulakan aksi pertama di laman sendiri yang baharu menentang Kedah dalam aksi pembuka tirai Liga-M bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim.

Selain itu, juara enam kali berturut-turut Liga Super itu juga dijadualkan akan memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di gelanggang sendiri menentang Suwon Bluewings pada 3 Mac nanti di Stadium Sultan Ibrahim.

Dengan pembukaan rasmi Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih — ‘Home of the Southern Tigers’ dan ini sekaligus menandakan aset terbaharu JDT, kebanggaan kelab dibawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja.

Reka bentuk Stadium Sultan Ibrahim yang dibangunkan oleh Forest City itu mampu memuatkan kapasiti maksimum sehingga 40,000 penonton selain memiliki kemudahan padang rumput semula jadi (Zeon Zoysia) yang mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), sistem pencahayaan moden, sistem bunyi dan kemudahan penyiaran.

Projek ini bukan hanya melibatkan pembinaan stadium sahaja tetapi juga pelbagai aspek pembangunan yang lain termasuklah Ibu pejabat Johor Darul Ta’zim, Pusat latihan dan kedai cenderamata. Pastinya stadium Baharu ini bakal menjadi satu mercu tanda Johor.

Sumber : FAM

 35 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?