Tahniah!! Harimau Malaya Benam Thailand

Sekalung tahniah diucapkan buat skuad Harimau Malaya atas kejayaan menewaskan Thailand 1-0 dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pagi ini.

Malaysia sah layak ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung November depan.

Photo FAM

Harimau Malaya baham Gajah Perang

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya akhirnya berjaya mengelak aib di bumi Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila merakam kemenangan yang dicari-cari selepas menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Al Maktoum, malam tadi.

Malaysia yang hadir ke UAE dengan misi besar terpaksa akur selepas tewas dalam dua aksi terdahulu kepada tuan rumah (0-4) dan Vietnam (1-2) untuk mengucapkan selamat tinggal ke Piala Dunia.

Begitupun, kejayaan mengutip tiga mata ke atas skuad Gajah Perang itu membolehkan pasukan negara menamatkan kempen Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat ketiga sekali gus akan beraksi di peringkat kumpulan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia.

Manakala Thailand yang dibimbing jurulatih Jepun, Akira Nishino terpaksa berpuas hati di tangga keempat dan perlu beraksi dalam saingan playoff untuk layak ke peringkat sama seperti skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Malah, laluan skuad negara di peringkat berikutnya juga dijangka lebih mudah untuk mengisi balang pertama atau kedua pada majlis undian nanti.

Malaysia yang terdesak memburu kemenangan melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama selepas tewas 1-2 kepada Vietnam Jumaat lalu.

Ia termasuk buat pertama kalinya menurunkan penjaga gol kedua, Khairulazhan Khalid disamping mempertaruhkan Syahmi Safari, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Nor Azam Azih dan Nazmi Faiz Manson.

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang dikritik hebat dalam dua aksi terdahulu masih diberi kepercayaan dan kali ini aksinya cukup positif dan hampir menjaringkan gol namun tandukannya pada minit ke-22 tepat ke dakapan Chatchai Budprom.

Selang lima minit giliran Aidil Zafuan Abd Radzak pula menguji Chatchai di gawang gol namun tandukan ketua pasukan negara itu mudah di baca selepas menyambut sepakan percuma Azam Azih.

Ketika anak buah Cheng Hoe asyik mengasak, kubu negara dikejutkan dengan percubaan Suphanat Mueanta pada minit ke-35 yang berjaya menewaskan Khairulazhan tetapi mujur kedudukannya dikesan offside oleh penolong pengadil.

Azam Azih yang tidak beraksi ketika menentang Vietnam mencuba nasib apabila rembatan jarak jauhnya tepat ke Chatchai sekali gus menamatkan aksi babak pertama tanpa jaringan.

Bagi melancarkan lagi jentera serangan negara, Cheng Hoe membuat pertukaran dengan memasukkan Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid untuk digantikan dengan Arif dan Brendan di babak kedua.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila gerakan satu dua antara Syafiq dan Safawi menyaksikan Malaysia dihadiahkan sepakan penalti dan Safawi yang dijatuhkan mudah menyempurnakan sepakannya pada minit ke-52.

Walaupun ketinggalan 1-0, Thailand tidak berputus asa apabila lima minit kemudian nyaris menyamakan kedudukan menerusi tandukan Thitiphan Puangchan yang terkena palang gol sebelum disambut Sumanya Purisai yang berada di posisi offside.

Lawan cuba memburu gol penyamaan namun kedudukan tipis itu kekal hingga wisel penamat.

Sumber : Harian Metro

Kedudukan akhir kumpulan G

Terima kasih kepada para penyokong Harimau Malaya yang hadir ke stadium pada ketiga-tiga perlawanan Kumpulan G #AsianQualifiers di Dubai, UAE ini.

Tidak lupa juga para penyokong di tanah air yang sama-sama turut memberikan sokongan.

FAM #HarimauMalaya

Komen Anda?