Syawal Paling Bermakna, Diberi Kebebasan Selama 7 Hari

Syawal paling bermakna

KAJANG: Syawal kali ini membawa tuah bagi Mohamad (bukan nama sebenar) apabila buat pertama kali dalam tujuh tahun, dia diberi peluang untuk bersama keluarga menyambut Aidilfitri.

Mohamad, 36, adalah salah seorang penghuni Penjara Kajang yang diberi pelepasan secara berlesen, iaitu ‘kebebasan’ bersyarat selama tujuh hari bermula hari ini, sebelum kembali ke penjara pada 10 Jun depan bagi menghabiskan hukuman yang berbaki kira-kira sembilan bulan lagi.

Majlis penuh makna itu dimulakan dengan bacaan perintah pelepasan dengan syarat oleh Timbalan Pengarah Penjara Kajang, M Basakaran S Muthiah, sebelum dia diminta menurunkan cap jari sebagai tanda penerimaan akuan diikuti penyerahan surat perintah pelepasan banduan secara berlesen oleh Pengarah Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abd Kadir Rais.

Detik ‘pembebasan’ Mohamad turut disaksikan kedua ibu bapa serta tunangnya yang selama ini tidak pernah langsung menyisihkannya, sebaliknya menjadi tulang belakang serta pendorong untuk dia berubah menjadi insan yang lebih baik.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Mohamad sebaik menerima surat pelepasan itu, apatah lagi ia detik paling dinanti-nantikan selain menganggap dirinya sebagai insan bertuah kerana terpilih untuk dibebaskan pada kali ini.

Ketika ditemui pemberita, dia memberitahu tidak sabar untuk makan ketupat daun palas dibuat ibunya kerana ia adalah juadah kegemaran di Hari Raya.

“Saya dipenjarakan pada 2012 ketika berusia 29 tahun dan ini adalah kali pertama diberi kesempatan beraya bersama keluarga.

“Selama berada di sini pun, keluarga tidak pernah melupakan saya dan akan datang melawat setiap dua minggu. Itulah sokongan terbesar mereka buat saya,” katanya yang keberatan berkongsi bentuk kesalahan dilakukan hingga terpaksa menjalani hukuman selama lapan tahun di situ.

Ditanya sama ada hukuman itu sebagai penamat hidup, Mohamad berkata pemenjaraan bukanlah noktah, sebaliknya ia dianggap sebagai cerminan untuknya menilai semula serta memperbaiki kelemahan diri, seterusnya menjadi seseorang yang mampu menyumbang kepada masyarakat.

Untuk itu, dia berterima kasih kepada Jabatan Penjara kerana menyediakan program pemulihan yang menjadi titik tolak kepadanya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi hingga mampu menggenggam segulung ijazah.

“Ketika masuk ke penjara, saya hanyalah seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi, kini saya sudah ada ijazah dalam bidang Sains Politik dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

“Kini, saya sedang tunggu untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana (Kriminologi) bersama Universiti Sains Malaysia (USM).

“Kepulangan saya dalam tempoh tujuh hari ini pun bukan sekadar untuk berhari raya tapi ada macam-macam perancangan lain khasnya diri sendiri dari sudut pekerjaan, hubungan dengan keluarga dan sebagainya.

“Ini umpama pelengkap kepada program pemulihan. Tujuh hari ini adalah ujian untuk saya berintegrasi dengan masyarakat,” katanya.

Anak sulung dari empat adik-beradik itu berkata, bekas banduan tidak perlu menyembunyikan identiti, sebaliknya perlu menonjolkan diri sekiranya mahu benar-benar berubah, namun ia harus dari sudut yang positif.

Dia turut menasihati mereka di luar sana untuk berfikir terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menjadikan diri sendiri sebagai contoh, Mohamad berkata apa yang berlaku memberi pengajaran paling bermakna buat dirinya, namun pada masa sama bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk berubah.

Sementara itu, Abd Kadir berkata Mohamad adalah banduan pertama yang menerima pembebasan berlesen untuk tahun ini dalam memberi peluang untuk dia kembali ke pangkuan keluarga dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, banduan terbabit layak diberi pelepasan berlesen selepas dia melepasi syarat ditetapkan, yang mana perlu menjalani hukuman sekurang-kurang empat tahun dan mempunyai baki hukuman sekurang-kurangnya setahun lagi.

Sumber : Berita Harian