Sultan Pahang Berjiwa Rakyat, Raikan Pasangan Pengantin OKU

TERKEJUT dan terharu. Itu yang terzahir pada wajah pasangan pengantin orang kelainan upaya (OKU) sebaik menerima kunjungan istimewa Sultan Pahang pada majlis perkahwinan mereka di Sungai Isap Perdana, Kuantan, hari ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli dan meluangkan masa setengah jam bersama pasangan pengantin bisu, Siti Nurbaya Muhammad Hoe, 24, dan Mohd Hafizan Zaini, 27.

Siti Nurbaya berkata, mereka dimaklumkan mengenai keberangkatan Al-Sultan Abdullah kira-kira sejam sebelum majlis perkahwinannya bermula.

“Kegembiraan saya berganda hari ini, perasaan pula bercampur baur kerana terharu melihat kesudian Tuanku hadir ke majlis ini.

“Pastinya ia menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang hidup saya,” katanya sambil diterjemahkan ibu saudaranya, Aida Syafinaz Sulaiman, 28.

Bapa Siti Nurbaya, Muhammad Hoe Abdullah, 53, dan ibunya, Roslina Sulaiman, 44, serta dua adiknya, Muhammad Azrul Anuar, 22, dan Muhammad Firdaus, 19, turut bisu.

Majlis perkahwinan itu menjadi perhatian apabila hampir sebahagian besar tetamu yang hadir berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Bercerita lanjut mengenai perhubungan mereka, Siti Nurbaya berkata, dia mengenali suaminya yang bekerja sebagai pereka grafik ketika mengikuti kem sukan membabitkan golongan itu pada 2015 di Sungai Lembing.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenaan menunaikan solat Zuhur di Masjid Al-Falah bersama kira-kira 500 jemaah.

Sementara itu, baginda turut melawat rumah mangsa kebakaran tahun lalu milik Wan Noorazlina Wan Hamid, 56, dan Baharuddin Sulaiman, 59, di kawasan sama.

Apa yang menarik, baginda dihidangkan dengan masakan gulai lemak nangka yang pernah dijanjikan Wan Noorazlina ketika baginda melawatnya dua hari selepas tragedi kebakaran itu berlaku.

“Ketika berangkat tahun lalu, baginda terpandang pokok nangka berhampiran sebelum saya sendiri bertanya adakah baginda mahu makan masak lemak nangka.

“Baginda bergurau dan bertanya sama ada saya tahu memasaknya. Kiranya hidangan ini adalah ‘perjanjian’ saya dengan Tuanku dan saya berbesar hati dapat menunaikannya,” katanya.

Katanya, dia terharu kerana Al-Sultan Abdullah sudi mencemar duli melawat keluarganya ketika ditimpa musibah dan selepas rumah mereka siap dibina semula.

Menceritakan kembali detik kejadian kebakaran yang berlaku pada 16 Januari tahun lalu, Wan Noorazlina berkata, kebakaran bermula dari rumah jirannya.

“Tiada orang ketika kejadian kerana saya dan suami berniaga di warung tidak jauh dari rumah.

Sumber : Harian Metro

Sultan Pahang Rai Pasangan Pengantin Pekak dan Bisu.

Kemeriahan majlis perkahwinan pasangan pekak dan bisu di Sungai Isap 2, Kuantan, hari ini diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis perkahwinan, Mohd. Hafizan Zaini dan Siti Norbayah Mohamad Hoe berlangsung di Dewan Mentiga Perkampungan Sungai Isap 2, siang tadi dihadiri lebih 1,000 jemputan.

Video:-

Gambar : Aiskrim Tok Gajah

Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia mengucapkan tahniah atas Majlis Perkahwinan Siti Nor Bayah Mohamad Hoe dan pasangan Mohd Hafizan Zaini yang melangsungkan majlis di Dewan Mentiga Perkampungan Sungai Isap 2 , Kuantan .

Serta menerima kunjungan yang istimewa iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Sultan Pahang Darul Makmur .

Semoga perkahwinan kalian berkekalan bahagia hingga ke Jannah.

Komen Anda?