Sultan Johor Kesal Masyarakat Buang Sampah

SULTAN JOHOR KESAL SIKAP MASYARAKAT BUANG SAMPAH KE DALAM SALIRAN AIR DAN SUNGAI PUNCA BERLAKU BANJIR KILAT DI KAWASAN BANDARAYA

Sultan Johor kesal masyarakat buang sampah

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutamanya pada musim hujan di kawasan bandaraya Johor Bahru.

Baginda bertitah, hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati banjir kilat melanda kawasan bandaraya pada bulan lalu, berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.

Titah Sultan Johor lagi, masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai.

“Apabila turunnya hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.

“Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB. Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan.

“Perbuatan seperti ini kelak menyumbang kepada berlakunya banjir,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).

Laporan dan gambar-gambar hasil siasatan MBJB dipersembahkan kepada DYMM Sultan Johor oleh Datuk Bandar MBJB, Dato’ Noorazam Osman di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru baru-baru ini.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan supaya menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di Johor.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam memberitahu RPO, bahawa pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terlibat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama.

“MBJB memperuntukkan RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun. Sikap segelintir rakyat kita amat dikesali.

“Saya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi hotspot banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif melibatkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir,” katanya.-K! ONLINE

Komen Anda?