Sultan Ibrahim, Kasih Kepada Rakyat Tidak Pernah Putus

Mengenali DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Baginda merupakan seorang Raja yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyatnya.

Baginda Tuanku Sultan dan Keluarga DiRaja Johor sentiasa menggerakkan pelbagai inisiatif murni bagi membantu rakyat antaranya Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) dan Program Bangsa Johor Bahagia.

RIBJ yang merupakan ilham DYMM Sultan Johor bagi memastikan rakyat dapat memiliki rumah sendiri pada harga yang mampu dimiliki, manakala Program Bangsa Johor Bahagia yang turut diilhamkan bersama DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah bertujuan membantu meningkatkan kualiti hidup golongan kurang kemampuan di bandar.

Ketika berlakunya tragedi pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, baru-baru ini hingga menjejaskan kesihatan ribuan rakyat, DYMM Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor antara awal memberikan reaksi pantas.

Baginda berdua berkenan berangkat melawat mangsa-mangsa yang ketika itu sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, manakala DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bersama isteri turut berkenan melawat mangsa-mangsa di Hospital Sultanah Aminah.

Pada masa sama, DYMM Sultan Johor turut mengambil berat keselamatan pasukan-pasukan yang terlibat dalam operasi pembersihan sisa kimia itu dan Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi.

Kasih Baginda Tuanku Sultan dan Keluarga Diraja Johor terhadap Bangsa Johor tidak pernah putus.

Komen Anda?