Sukarelawan AirAsia Bantu Program Vaksinasi, PPV

Ada yang rindu tak nak travel lagi? Beg-beg luggage kat rumah mesti dah berhabuk. Buat masa ni mampu throwback gambar lama sahaja.

Kalau PKP dah habis nanti dan kita semua dapat berjalan seperti biasa ke luar negara atau domestik, pertama sekali min nak pergi ke Langkawi.

Sukarelawan AirAsia bantu program vaksinasi, PPV umpama lapangan terbang

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Umpama mengubat kerinduan berada di lapangan terbang, antara situasi yang boleh digambarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Pusat Konvensyen Setia City, apabila AirAsia Allstars memulakan tugas sebagai sukarelawan di situ bermula semalam.

Manakan tidak, disambut dengan senyuman mesra kru kabin yang lengkap berpakaian uniform sejurus tiba di pintu masuk utama, mereka yang datang mengambil suntikan vaksin dilayan seolah-olah penumpang pesawat, apabila dibantu dari proses awal hingga akhir melibatkan lima stesen di PPV berkenaan.

Ketua Kru Kabin AirAsia Malaysia Nurul Tiara Rosli yang bertugas di PPV KLCC berkata, antara tugasan bukan perubatan dilakukan mereka, termasuklah mengalu-alukan kedatangan penerima vaksin, pemeriksaan dokumen dan status MySejahtera, serta memberikan taklimat mengenai gejala yang mungkin dialami.

Namun antara yang menarik perhatian ramai apabila, mereka membuat pengumuman menggunakan nada dan intonasi sama seperti ketika menyampaikan maklumat penerbangan di lapangan terbang.

“Ada yang ingin mengambil swafoto bersama, malah paling seronok sewaktu mereka dengar pengumuman kami, ramai yang keluarkan telefon masing-masing dan rakam serta ambil gambar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Turut teruja dapat menyarung pakaian uniformnya, Nurul Tiara yang sudah tujuh tahun menjadi kru kabin berkata, kesemua mereka juga telah diberi taklimat berhubung perjalanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, supaya operasi di setiap PPV berjalan lancar.

Sedar ramai yang rindukan untuk kembali melancong, beliau menjelaskan inilah masanya untuk rakyat sedar bahawa vaksinasi adalah amat diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok, bagi membolehkan aktiviti ekonomi negara termasuk pelancongan dalam dan luar negara dapat dipulihkan.

Seorang lagi kru kabin Airasia Mohd Suhairi Zakaria pula menceritakan rasa puasnya, apabila dapat membantu proses perjalanan di PPV termasuk dapat membantu seorang warga emas berkerusi roda dari awal hingga akhir proses suntikan vaksin.

Berbangga dapat menyumbang tenaga bagi memastikan kelancaran progam itu, Mohd Suhairi berpendapat kepakaran dari aspek komunikasi dengan penumpang pesawat sebelum ini amat memudahkan kerja mereka di PPV berkenaan, apabila ia turut sama dipraktikkan kepada penerima vaksin.

Menjengah ke laman sosial pula, rata-rata warganet memberi reaksi positif dengan video memaparkan kru kabin AirAsia yang membuat pengumuman, antaranya pengguna Tiktok @WakMustarjo: “Wow…anda membuatkan orang yang nak cucuk vaksin rasa macam nak pergi ‘travel’, macam kat ‘airport’,” manakala @username pula menulis: “Kalau dapat vaksin kat sini nak bawak ‘luggage’ dengan tiket ‘flight’,”. 

Lebih daripada 300 AirAsia Allstars menjadi sukarelawan di dua PPV berkenaan, yang turut terdiri daripada jurutera, kakitangan darat dan pegawai pejabat, serta pihak pengurusan yang menjalankan tugas bukan perubatan, di mana jumlah itu juga akan ditambah kepada 1,000 dalam tempoh akan datang. 

BERNAMA

Komen Anda?