fbpx

Suasana Stadium Nasional Bukit Jalil, JDT vs Kedah

Tsunami bola landa Bukit Jalil

STADIUM Nasional, Bukit Jalil yang menjadi gelanggang final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilanda ‘ombak tsunami’ apabila lautan hijau kuning dan biru merah memenuhi setiap tempat duduk dalam stadium itu.

Walaupun pada jam 1 petang hujan turun dengan lebat ia langsung tidak membantutkan keghairahan penyokong kedua-dua pasukan yang cekal menunggu hingga pintu stadium dibuka pada jam 4 petang.

Stadium Nasional mula terbahagi kepada dua tona warna yang menyaksikan sebelah kanan stadium dibanjiri penyokong JDT yang mengenakan jersi berwarna merah biru sementara warna hijau kuning menghiasi pemandangan sebelah kiri stadium.

Kemunculan kumpulan penyokong setia JDT iaitu ‘Boys of Straits’ (BOS) yang mula memasuki stadium pada jam 7.30 malam terus menghangatkan suasana dengan mereka melaungkan nyanyian dan tepukan semangat yang turut disambut oleh penyokong Harimau Selatan.

Bagaimanapun, pertembungan ‘dua lautan’ yang membabitkan kira-kira 85,000 penonton itu tetap terkawal dan kualiti penyokong profesional berjaya ditunjukkan oleh kedua-dua penyokong yang dilihat boleh bergaul mesra tanpa timbul sebarang masalah.

Bukan itu sahaja, perang kain rentang juga menambah rencah aksi final yang menyaksikan puluhan kain rentang digantung oleh penyokong kedua-dua pasukan sebagai tanda sokongan kepada pasukan masing-masing.

Antara kata-kata semangat pada kain rentang skuad Helang Merah seperti ‘Biar Jasa Jadi Kenangan, ‘Kedah Pantang Undur’ dan ‘Pulun Kedah Pulun’.

Bagi penyokong JDT pula, mereka menaikkan kain rentang ‘Luaskan Kuasa Mu’, ‘JDT Sampai Mati’ dan lain-lain.

Suasana bertambah gegak-gempita apabila pemain kedua-dua pasukan muncul di padang sebaik tiba di stadium bagi memberi penghormatan kepada penyokong masing-masing.

Sorakan dan nyanyian ‘Kedah, Kedah, Kedah’ serta ‘Johor, Johor, Johor’ menggegarkan suasana sekali gus menghangatkan lagi pertembungan dua seteru untuk memburu trofi kedua musim ini.

JDT muncul juara Liga Super musim ini sementara Kedah menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Perak 1-0 di gelanggang sama Julai lalu.

Sumber : Harian Metro

Komen Anda?