Stadium Sultan Ibrahim


Masih kekal dalam ingatan. Perasaan teruja ketika pertama kali melihat tersergam indahnya sebuah stadium bolasepak di laman media sosial. Waktu itu, diri bagai tidak sabar untuk pergi melihat stadium tersebut di depan mata secara langsung. Sedikit demi sedikit teaser di keluarkan bagi menjemput semua penyokong untuk hadir ke hari pelancaran rasmi Stadium Sultan Ibrahim. Ia bagaikan satu tarikan dan juga kebanggaan kepada semua peminat bolasepak, bangsa Johor khususnya.

Tiba hari pelancaran yang dinantikan, sudah pasti malam pelancaran tersebut akan sentiasa menjadi sejarah dan semestinya sesuatu yang tidak mungkin dilupakan. Masihkah anda semua ingat dua ekor harimau berlegar mengelilingi bumbung stadium sebelum melompat ke atas padang? Betapa gilang gemilang majlis perasmian Stadium Sultan Ibrahim dan telah disaksikan oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Malah malam itu telah mendapat liputan seluruh dunia.

Sebagai seorang penyokong, detik yang dinantikan adalah perlawanan pertama liga merangkap perlawanan merebut Piala Sumbangsih. Masih segar di ingatan, betapa gahnya Boys of Straits beraksi kali pertama di Stadium Sultan Ibrahim. Sahutan mereka di sambut oleh penyokong yang berada di teres bertentangan. Malah turut di sahut oleh penyokong sekeliling stadium. Gila! Memang berdiri bulu roma. Stadium yang menempatkan kira-kira 30 ribu penyokong, penuh dengan penyokong menyarung jersi pasukan kesayangan. Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya yang berada di waktu kejadian akan mengingati betapa kemeriahan Stadium Sultan Ibrahim akan menghantui setiap pasukan lawan yang datang bertandang.

Hari ini, tarikh 11 Mac 2021, lebih kurang 2 minggu selepas Stadium Sultan Ibrahim menyambut ulang tahun pertama, stadium kebanggaan ini menerima pengiktirafan “2020 Stadium of the Year” daripada StadiumDB. Walaupun ini adalah pengiktirafan daripada awam, nyata kita perlu berbangga kerana stadium kebanggaan kita dikenali seluruh dunia. Dan kita juga harus akui bahawa peranan sosial media kelab bolasepak JDT telah berjaya menembus pasaran antarabangsa, malah medium sosial media kelab bolasepak JDT juga mempunyai pengikut yang setia.

Walaupun semua penyokong tidak puas merasakan kemeriahan Stadium Sultan Ibrahim dek pandemik yang melanda, tapi saya pasti itu tidak membataskan sokongan setiap penyokong demi kelab bolasepak tercinta. Kita patut bangga, sejarah demi sejarah telah tercipta. Stadium Sultan Ibrahim di iktiraf dan mendapat perhatian seluruh dunia. JDT akan muncul dengan kejutan yang membuatkan anda akan sentiasa rasa teruja! JDT tidak akan berhenti!

Wahai semua penyokong, sentiasa panjatkan doa kepada Yang Maha Esa. Agar pandemik akan mula reda. Agar hak kita dikembalikan semula. Agar kita semua boleh menonton perlawanan sang juara! Bersedialah semua penyokong, tidak lama lagi akan tiba berita gembira!

Rumah kita telah dikenali oleh seluruh dunia. Berbanggalah!

Tahniah JDT!

Ikhlas seorang penyokong,
FK

Foto ihsan : Nizam Rahman

 42 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?