Skuad Kebangsaan Tewas Kepada Indonesia

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui sangat kecewa dengan kekalahan 1-4 di tangan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Singapura, sebentar tadi.

Lebih perit, kekalahan itu sekali gus meranapkan impian untuk skuad negara mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020.

Bekas pengendali Kedah itu turut mengakui ketiadaan dua tonggak termasuk kapten, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad menjejaskan kestabilan di bahagian pertahanan.

“Sudah pasti ketiadaan dua pertahanan kami, Aidil dan Shahrul menjejaskan kestabilan di bahagian pertahanan, tapi saya fikir secara keseluruhan kami sangat kecewa dengan keputusan dan kami harus bergerak ke hadapan,” katanya.null

Pada aksi terakhir Kumpulan B itu, skuad Harimau Malaya yang membawa misi wajib menang mendahului pada minit ke-13 hasil jaringan K Kogileswaran.

Namun, kelebihan itu dipadam dengan dua jaringan Irfan Jaya pada minit ke-36 dan 43 sebelum Pratama Arhan dan Elkan Baggott menambah dua lagi gol buat Indonesia pada babak kedua.

Sementara itu, ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong pula menunjukkan reaksi betapa dia gembira dengan persembahan anak buah yang berjaya bangkit dari ketinggalan untuk meraih kemenangan besar.

“Pada pertemuan sebelum perlawanan, saya katakan kepada pemain bahawa kita jangan panik walaupun jika ketinggalan, cuba berusaha dan dapatkan bola.

“Mereka melakukan perkara itu dan saya sangat gembira dengan persembahan pasukan terutama pemain muda,” katanya..

Sumber : Berita Harian

Carta Kedudukan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2020

Komen Anda?