Siri Jelajah DNA Bola Sepak Malaysia (Zon Selatan)

Siri Jelajah DNA Bola Sepak Malaysia (Zon Selatan) | 12 September 2020

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah meneruskan Siri Jelajah DNA Bola Sepak Malaysia bagi zon kedua iaitu Zon Selatan membabitkan negeri Johor dan Melaka yang telah berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru dan sesi praktikal di Pusat Latihan JDT, hari ini.

K Sukumaran, Pengurus Pembangunan JDT dan merangkap Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bolasepak Belia FAM; Alistair Edwards, Pengarah Teknikal JDT; Asri Ninggal, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka; Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo dan Penolong Pengarah Teknikal FAM yang juga Ketua Unit Pembangunan Belia FAM, Datuk Ong Kim Swee hadir ke upacara pembukaan siri jelajah berkenaan, pagi tadi.

Siri Jelajah Zon Selatan hari ini telah dihadiri seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada wakil ahli-ahli gabungan FAM, wakil dari Pusat Latihan Daerah (PLD) & Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) NFDP, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta wakil dari akademi-akademi swasta.

Sejurus selepas upacara pembukaan, sesi diteruskan dengan pembentangan mengenai DNA Bola Sepak Malaysia oleh Peter de Roo. Ia seterusnya disusuli dengan pembentangan mengenai Pendidikan Kejurulatihan oleh Instruktur Kursus Kejurulatihan FAM, Richard Sinapan, Bola Sepak Akar Umbi oleh Ketua Unit Akar Umbi FAM, Samuel Siew; Pencarian Bakat oleh Pengarah Teknikal NFDP, Saad Ichalalene dan Pembangunan Bolasepak Belia Antarabangsa oleh Datuk Ong Kim Swee.

Pemain-pemain demo bawah 12 tahun dan bawah 16/17 tahun dari Akademi Bolasepak JDT telah terlibat dengan Sesi praktikal yang dijalankan oleh Instruktur FAM, Wan Jamak Wan Hassan dan Samuel Siew.

Baki empat lagi zon iaitu Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang & Perak), Zon Timur (Kelantan, Terengganu & Pahang) serta Zon Sabah dan Zon Sarawak telah ditangguhkan akibat penularan kes Pandemik COVID-19 yang semakin meningkat.

Sumber : MFL