Shuttle Tebrau Kembali Beroperasi Selepas Lebih Dua Tahun Dihentikan

Perkhidmatan Tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shuttle Tebrau yang kembali beroperasi hari ini dijangka memanfaatkan 7,000 penumpang yang berulang alik dari Stesen Johor Bahru (JB) Sentral ke Stesen Woodlands, Singapura setiap hari.

Majlis Flag-Off Perkhidmatan ini disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Stesen JB Sentral disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB. Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Pengerusi KTMB, YBhg. Datuk Musa Haji Sheikh Fadzir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Semoga pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau ini terus memberi kemudahan kepada rakyat dan seterusnya dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik di Tambak Johor (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar terutamanya ketika waktu puncak.

Perkhidmatan tren JB-Singapura beroperasi semula

Selepas lebih dua tahun dihentikan akibat pandemik COVID-19, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini memulakan kembali perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral, Johor Bahru ke Stesen Woodlands, Singapura.

Di petik dari laman Berita Harian, Perkhidmatan itu mula digantung sementara pada 24 Mac 2020, berikutan penutupan sempadan negara akibat COVID-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata latihan pengoperasian semula Shuttle Tebrau itu sudah bermula sejak Selasa lalu sebagai persediaan. 

Katanya, latihan pengoperasian dibuat bagi memeriksa gerakan gerabak, ciri keselamatam, sistem penjualan tiket dan operasi penjualan supaya perkhidmatan berkenaan lancar. 

“Tiket perkhidmatan Shuttle Tebrau sudah mula dijual pada 13 Jun lalu bagi perjalanan 19 Jun sehingga 18 Julai 2022.

“Setakat Jumaat lalu, sebanyak 68,070 tiket sudah dijual dengan penjualan tiket yang lebih awal ini, ia dapat membantu pengguna merancang perjalanan mereka khususnya rakyat Johor yang berulang-alik berkerja di Singapura.

“Setiap hari ada 31 trip atau perjalanan Shuttle Tebrau yang bermula jam 5 pagi sehingga 11.45 malam, dengan 13 perjalanan dari Malaysia-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Malaysia.

“Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau ini mampu menampung kapasiti maksimum seramai 320 penumpang setiap trip atau perjalanan dan dijangkakan seramai 7,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau mengekalkan tambang sedia ada iaitu RM5 sehala bagi perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, penyambungan semula perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau itu memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja ke republik itu. 

Katanya, perkhidmatan tren itu sebelum pandemik menjadi antara pengangkutan pilihan dan popular dalam kalangan penduduk kedua-dua negara.

“Ini adalah detik bersejarah buat rakyat Johor, dengan pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau, saya menjangkakan pertambahan pelancong dari Singapura ke Malaysia melalui Johor.

“Ia sekali gus dapat merancakkan sektor ekonomi negara khususnya negeri ini. 

“Melalui pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau ini, ia juga dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik di Tambak Johor dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terutama pada waktu puncak,” katanya. Sumber : Berita Harian

#LuaskanKuasamuJohor

PERHATIAN:- Pihak kami tidak bertanggungjawab ke atas sebarang komen yg diberikan oIeh pembaca kami. Komen itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik akaun Facebook tersebut.

LIKE & FOLLOW kami di FB page Satu Johor

Ikuti juga artikel menarik yang kami kongsikan di bawah ini.

Komen Anda?