Sentuhan Magis Mora

Masihkah anda semua ingat teriakan penyokong JDT, “Tukar Mora, Tunku!”

Waktu itu semua penyokong naik muak dengan susunan taktikal yang digunakan oleh “the one and only Benjamin Mora”.
Tetapi berbeza dengan respon pemilik kelab kesayangan ramai. DYAM Tunku Mahkota Johor ada mengeluarkan fakta-fakta dan ditunjukkan kepada semua penyokong ketika sesi bertemu fans di kafe JDT. Fakta-fakta tersebut nyata menunjukkan mengapa Tunku masih memberi kepercayaan dan mengapa coach Benjamin Mora masih relevan.

Berbalik kepada perlawanan pasukan JDT menentang Perak di Stadium Sultan Ibrahim. Kita semua disajikan dengan hiburan yang membuat semua penyokong bercerita sampai 4 hari. Pasukan JDT menjaringkan 7 gol tanpa balas. Akan tetapi, ramai yang tidak perasan individu yang berada di sebalik kejayaan malam tersebut.

Saya khususkan kepada gol kedua yang dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera. Tahukah anda, jaringan gol tersebut melibatkan kesemua sentuhan pemain JDT di dalam padang. Bermula daripada balingan Farizal Marlias kepada Corbin Ong. Seterusnya bola di lorong kepada Afiq Fazail, dan ke Aidil Zafuan, dan kepada Mauricio, sambung kepada Natxo Insa. Natxo melorong jauh ke Ramadhan Saifullah yang berada di sebelah kanan, dikembalikan kepada Natxo Insa semula. Natxo melorongkan bola kepada Leandro Velasquez.

Dengan pantas Leandro menyepak bola terus kepada Kunalan. Kunalan menyedari Diogo Luis Santo sedang berlari dan terus melorongkan bola kepada beliau. Tanpa berfikir lama, Diogo terus membuat hantaran atas kepada Gonzalo Cabrera. Cabrera menggunakan bahu beliau untuk menahan bola kepada Leandro semula. Saya sendiri ingat Leandro mahu terus bertindak untuk menyepak ke arah gol. Sebaliknya Leandro memberikan semula bola tersebut kepada Cabrera dan Cabrera terus membuat sepakan menerjah gawang gol Perak.

Mungkin ramai yang tidak sedar akan gerakan gol ini. Kerana masing-masing lebih teruja dengan jumlah gol yang disumbat pada malam tersebut. Akan tetapi kita harus memuji tindakan coach Benjamin Mora atas segala arahan taktikal yang diluahkan.

Teruskan memberi sokongan dan kepercayaan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pasukan kesayangan kita ini.

Terima kasih Head Coach Benjamin Mora !

Ikhlas seorang penyokong,
FK

Nota kaki : Kredit harus diajukan kepada darkhuntstyle atas penggunaan video ini. Boleh follow darkhuntstyle di laman instagram mahupun channel di laman youtube.