Selesai Hutang Dulu, Baru Potong Gaji

BAYAR hutang sebelum potong gaji. Itu peringatan kepada sekurangnya empat pasukan Liga Malaysia (Liga M) iaitu Kedah, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang supaya pastikan segala hutang kepada pemain diselesaikan segera sebelum memotong gaji mereka.

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook Johor Southern Tigers (JST) memaklumkan bahawa pemain bersedia memberikan kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, terdapat tunggakan membabitkan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar oleh pasukan namun menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji.

“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.

“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka,” katanya, di sini.

Sebelum ini, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meletakkan dua syarat yang harus dipatuhi pasukan atau kelab Liga M sebelum membincangkan isu pemotongan atau penangguhan gaji pemain bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya.

Antara syarat yang perlu dipatuhi pasukan atau kelab adalah wajib menyelesaikan tunggakan gaji sebelum pandemic Covid-19 bermula selain rundingan atau persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain dan bukannya berkumpulan.

Selain itu, PFAM juga mendakwa terdapat majikan ibarat ‘memaksa’ pemain untuk menyatakan persetujuan dengan cepat berhubung isu pemotongan gaji sedangkan pihak majikan masih berlengah berhubung tunggakan kepada para pemain.

Sementara itu, Tunku Ismail memaklumkan bahawa kebanyakan pasukan bergantung 100 peratus peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin masih tidak membayar gaji.

“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Kebanyakan pemain di dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan oleh pandemik Covid-19. Tetapi sebelum pasukan memotong gaji tersebut, pastikan bahawa kelab atau pasukan yang berhutang dengan pemain menyelesaikan hutang tersebut dengan pemain terlebih dahulu.

Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji. Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.

Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka.

Kebanyakan pasukan bergantung 100% peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin pasukan-pasukan ini masih tidak membayar gaji. Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Hidup Johor Demi Johor

Komen Anda?