Selamat Datang, Bienvenido Maranon & Carli de Murga

JDT adalah juara bertahan Liga Super Malaysia kelapan Berturut-turut dan pasti musim ini turut akan tampil gah untuk mempertahankan kejuaraan. Namun pasukan-pasukan lain seperti Sabah FC, Terengganu FC, dan sebagainya turut enggan berdiam diri dalam melontarkan cabaran menjelang sepak mula pada bulan hadapan.

Begitu juga Kedah Darul Aman FC dan KL City FC , dua pasukan yang mendapat suntikan semangat apabila layak menempah tiket dalam saingan Piala AFC pada musim ini.

Hari ini seperti yang dijanjikan JDT mengumumkan dua pemain baharu yang baru tiba iaitu Bienvenido Maranon & Carli de Murga.

Photo by JST

JDT Dijangka akan mengumumkan seorang lagi pemain ketiga yang akan menyertai skuad di Dubai, Emiriah Arab Bersatu untuk pramusim.

Ternyata JDT tidak mahu terus dibuai mimpi indah dengan kejayaan musim 2021 apabila melakukan penambahbaikan dalam pasukan supaya dapat memberi saingan sengit pada aksi Liga Juara-Juara AFC serta tiga pertandingan domestik.

“JDT akan berlepas ke Dubai hujung minggu ini dan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Spartak Moscow, Rodina Moscow, MSK Zilina dan Riga FC,” 

Sebelum ini, skuad Harimau Selatan itu mengumumkan kehadiran pemain baharu mereka. Kali ini pemain import berasal dari Argentina Fernando Forestieri selain turut menyambar tonggak Selangor FC Syahmi Safari.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab sebentar tadi, memaklumkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memiliki skuad yang besar untuk kempen 2022 kerana Harimau Selatan akan bersaing dalam empat kejohanan dengan kembalinya Piala FA dan kelayakan ke Liga Juara-Juara AFC, selain Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia.

Harimau Selatan berpotensi bermain 50 perlawanan pada musim 2022 bergantung kepada kemaraan ke pusingan terakhir dalam pertandingan Piala. Justeru, skuad besar yang berkualiti diperlukan untuk penggiliran pemain dan memastikan pasukan berada pada tahap optimum untuk semua pertandingan.

Pada masa yang sama, Edwards turut menegaskan Akan ada pemain yang terlibat dalam sistem penggiliran juga akan menyaksikan mereka bermain untuk JDT II untuk mendapatkan ‘match fitness’ dan memastikan mereka bersedia untuk pasukan utama pada bila-bila masa. Penggiliran bersama JDT II juga akan membantu perkembangan pemain muda yang beraspirasi tinggi di JDT II apabila mereka dapat menimba pengalaman berharga bermain bersama pemain yang lebih berpengalaman, sekali gus memastikan peralihan yang lancar ke pasukan senior seperti kisah kejayaan Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah.

Pemain yang terlibat dalam penggiliran dengan JDT II kekal sebagai sebahagian besar daripada perancangan pasukan utama atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, termasuk memastikan sesi latihan pasukan utama yang berkualiti tinggi dan intensiti tinggi. Oleh itu, kelab tidak dapat meminjamkan keluar pemain ini.

LuaskanKuasamuJohor

Komen Anda?