Selamat Berjuang Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe di KLIA, Sepang sebelum berlepas ke Singapura bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.

Harimau Malaya dicabar tumbangkan Vietnam

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya dicabar untuk menumbangkan gergasi Asia Tenggara, Vietnam dalam saingan Kumpulan B Piala AFF yang dijadual berlangsung di Singapura bermula Isnin ini.

Cabaran itu dilontarkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu pasukan kendalian Tan Cheng Hoe menumpaskan Vietnam apabila kedua-dua pasukan bertemu di peringkat kumpulan nanti.

Jelas Hamidin, beliau percaya keupayaan pemain negara sebenarnya jauh lebih baik dan sasaran untuk menakluk ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ ini bukanlah misi mustahil.

“Apabila anda sudah masuk ke dalam pasukan dan menyarung jersi Harimau Malaya, saya mahu semua pemain ini beri segala-galanya yang terbaik yang mereka ada dan fokus sepanjang kejohanan berlangsung.

“Sudah pasti 20 pemain yang akan berlepas dari Kuala Lumpur ini serta empat pemain dari luar negara yang akan menyertai pasukan di Singapura nanti iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim dan Dion Cools saya kira sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab masing-masing dalam membawa nama Malaysia.

“Pentas Asia Tenggara ini sepatutnya tiada masalah buat mereka dan ingin saya tegaskan di sini bahawa yang kali ini, kita mesti mengalahkan Vietnam bagi membuktikan yang Malaysia juga sebenarnya sama kuat dan hebat,” katanya yang sempat bersarapan pagi dengan barisan pemain dan pegawai pasukan sebelum berlepas ke Singapura hari ini.

Malaysia yang juga naib juara edisi lalu akan membuka kempen saingan Kumpulan B menentang Kemboja pada Isnin ini diikuti aksi berikutnya bertemu Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) bagi memburu dua tempat teratas ke separuh akhir.

Dalam pada itu, Hamidin turut menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama penyokong Harimau Malaya untuk mendoakan kejayaan pasukan.

“Kita sama-sama bersorak dan menyokong skuad Harimau Malaya pada Piala AFF 2018 dan ternyata ia menjadi pembakar semangat yang mendorong para pemain berjaya membawa kita muncul naib juara ketika itu.

“Kali ini, tidak mustahil untuk kita mengulangi kejayaan mara ke final itu dan menjulang pula piala biarpun saya sedar kekangan akibat pandemik Covid-19 ini menyukarkan kita semua untuk hadir ke Singapura.

“Tapi sama-sama kita di tanah air mendoakan kejayaan pasukan dan terus memberi sokongan padu biarpun dari jauh,” katanya.

Tiga tahun lalu, skuad negara tewas 3-2 secara agregat di pentas final kepada Vietnam selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Kuala Lumpur, sebelum Malaysia tewas 0-1 pada aksi timbal balik di Hanoi.

Sumber : Harian Metro

Komen Anda?