Sekolah Pendidikan khas Adalah Perkara Yang Amat Dekat Di Hati Saya Dan Keluarga Saya – TMJ

Sekolah pendidikan khas dekat di hati saya – TMJ

Pasir Gudang: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, sekolah pendidikan khas amat dekat di hati baginda dan keluarga.

Pada kenyataan menerusi Facebook (FB) ‘HRH Crown Of Johor’, Tunku Ismail bertitah, pendidikan adalah hak untuk semua rakyat tidak mengira kaum atau agama mahupun keupayaan.

Tunku Ismail turut menegaskan setiap anak Johor berhak mendapat pendidikan asas yang baik.

Titah Tunku Ismail, pembangunan insan yang berilmu dan beradab terutamanya untuk anak-anak Johor perlu dilaksanakan di ruang pengajaran dan pembelajaran yang kondusif selain selamat sepanjang pandemik Covid-19.

“Saya sudah mengemukakan beberapa persoalan mengenai pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Diharapkan agensi-agensi berkaitan mengambil maklum mengenai isu-isu itu untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak Johor.

“Saya turut menasihati jabatan agama dan jabatan pendidikan serta jabatan kesihatan untuk sentiasa memantau sekolah-sekolah di seluruh negeri Johor agar SOP diikuti dan dilaksanakan dengan kesan minima terhadap proses PdP,” titah Tunku Ismail hari ini.

Terdahulu, Tunku Ismail bersama isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dan tiga anakanda berkenan melawat Sekolah Agama Taman Kota Masai di sini, hari ini itu bagi meninjau proses PdP di sekolah agama negeri.

“Ia bertujuan meninjau proses PdP di sekolah agama negeri dan melihat pelaksanaan SOP pencegahan Covid-19 serta hala tuju pendidikan agama untuk kelestarian anak Johor dalam membina ilmu agama. 

“Kami juga berpeluang berjumpa dengan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth dan Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru.

“Kedua-dua sekolah ini masing-masing ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pembelajaran khas bagi anak-anak rakyat Johor yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan dan autisme,” titah Tunku Ismail.

Sumber : Harian Metro

Pada hari ini saya dan keluarga telah melawat Sekolah Agama Taman Kota Masai, Pasir Gudang untuk meninjau proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah agama Johor dan melihat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan jangkitan covid-19 serta halatuju pendidikan agama untuk kelestarian anak-anak rakyat negeri Johor dalam membina ilmu agama.

Kami juga berpeluang berjumpa dengan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth dan Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru. Kedua-dua sekolah ini masing-masing ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pembelajaran khas bagi anak-anak rakyat Johor yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan dan autisme.

Sekolah pendidikan khas adalah perkara yang amat dekat di hati saya dan keluarga saya. Pendidikan adalah hak untuk semua rakyat, tidak mengira kaum atau agama mahupun keupayaan. Saya ingin menegaskan setiap anak Johor berhak mendapat pendidikan asas yang baik.

Pembangunan insan yang berilmu dan beradab, terutamanya untuk anak-anak rakyat Johor, perlu dilaksanakan di ruang pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan selamat ketika wabak Covid-19 masih berterusan.

Saya telah mengemukakan beberapa persoalan mengenai pelaksanaan SOP dan PdP dan diharapkan agensi-agensi berkaitan mengambil maklum mengenai isu-isu tersebut untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak Johor.

Saya turut menasihati Jabatan Agama dan Jabatan Pendidikan serta Jabatan Kesihatan untuk sentiasa memantau sekolah-sekolah di seluruh negeri Johor agar SOP diikuti dan dilaksanakan dengan kesan minima terhadap proses PdP.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Daulat Tuanku