Safawi Rasid Seakan Mengimbau Kenangan Ketika Bergelar Pemain Sepak Takraw

Fuhhh!…Skil takraw Pawi belum berkarat

KUALA LUMPUR: Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid seakan mengimbau kenangan ketika bergelar pemain sepak takraw apabila melakukan cabaran ‘Duduk Di Rumah’.

Menerusi klip pendek berdurasi lebih 40 saat di laman Instagramnya, pemain berusia 23 tahun itu melakukan cabaran ‘timang tisu’ bersama adiknya yang juga pemain JDTIII, Alfi Rasid.

Safawi yang pernah bergelar pemain skuad takraw negeri Terengganu ketika sekolah rendah nyata tidak kekok sekalipun menimang tisu dan dia beberapa kali melakukan ‘hantaran’ kepada Alfi dalam klip pendek itu.

Dalam klip pendek terbabit, ia turut disertakan dengan kapsyen ‘Never Rest’ (tidak pernah berehat’ selain tanda pagar #coronaout dan #siblingchallenge.

Klip video yang mula dipaparkan sejak dua jam lalu itu menerima hampir 160,000 tanda suka dan mendapat hampir 500 komen pelayar internet.

Cabaran ‘Stay At Home’ itu mula diperkenalkan di laman sosial dengan ia turut diikuti beberapa pemain bola sepak ternama dunia seperti pemain Manchester United, Anthony Martial dan Bruno Fernandes serta pemain Chelsea, Mason Mount dan Tammy Abraham.

Cabaran itu dibuat bertujuan bagi mengisi masa lapang pemain bola sepak yang terpaksa ‘berkurung’ di rumah selepas saingan liga ditangguhkan seketika susulan penularan wabak COVID-19.

Sumber : Berita Harian