Runcing Ikan Bandaraya @ Ikan Tombot Semakin Banyak Di Johor Bahru

KEMUNCULAN ikan bandaraya atau lebih dikenali sebagai ikan ‘tombot’ dalam kalangan nelayan di Johor Bahru sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka kerugian kerana kerap terlekat di jaring.

Ikan bandaraya yang biasanya hanya bersaiz kecil namun kini boleh ditemui dengan saiz besar sehingga ada seberat 500 gram.

Ketua Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama, Osman Kassim berkata, kehadiran ikan tombot yang tidak boleh dimakan itu dikesan sejak hampir 10 tahun lalu namun jumlahnya tidak banyak.

“Malangnya, sejak pembangunan pesat di kawasan berhampiran beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah ikan ini bertambah dengan mendadak.

“Lebih malang apabila selepas hujan, ikan ini akan naik dan melekat di jaring menyebabkan nelayan terpaksa menghabiskan masa membuangnya dari jaring dan tidak boleh mencari ikan lain.

“Sebelum ini, ikan itu hanya ditemui di hulu Sungai Skudai berhampiran pintu loji tadahan air di Skudai, namun sekarang ia boleh ditemui di hilir sungai berhampiran Taman Tampoi Utama,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini nelayan boleh menjaring ikan patin, keli, talapia, baung atau terebol namun sejak pembangunan pesat, mereka hanya boleh menjaring patin atau keli.

“Kami tidak pasti apa puncanya jumlah ikan lain berkurangan, sama ada air tercemar akibat pembangunan atau kehadiran ikan tombot ini. Sebelum ini, ikan tombot hanya ditemui di kawasan hulu namun sejak kebelakangan ini ia boleh ditemui di sini. Apa yang pasti, setiap kali selepas hujan jumlah ikan itu yang melekat di jaring lebih banyak dan bersaiz besar,” katanya.

Nelayan, Badrul Hisham Mohamed, 51, berkata dia sudah menjadi nelayan sejak lebih 40 tahun lalu di sungai berkenaan.

Dia berkata, sejak dua atau tiga tahun lalu, ikan tombot terbesar temui seberat hampir 500 gram seekor dan ia melekat di jaring seperti mana ia melekat di akuarium selain sirip tersekat di antara jaring.

Menurutnya, selepas hujan mereka boleh memperoleh hampir 15 kilogram ikan tombot namun tiada ikan lain.

Katanya, jeti yang mempunyai lebih 30 ahli berdaftar tidak tahu punca kehadiran ikan itu kecuali kemungkinan ia dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

“Apa pun, kami merayu pihak berkuasa mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah ini kerana ia menjejaskan pendapatan kami,” katanya.

INFO

– Ikan bandaraya atau Hypostomus plecostomus adalah nama saintifik bagi ikan air tawar tropika yang berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

– Ikan bandaraya memakan alga dan menjadi spesies ikan yang sangat popular untuk dibela dalam akuarium kerana sifat semulajadinya yang mampu membersihkan akuarium dan tangki dengan memakan alga serta saki-baki makanan ikan dan ikan yang mati.

-Nama ikan bandaraya kerana ia sinonim dengan sifat ikan ini yang suka ‘membersihkan’ kawasan sekelilingnya dengan memakan alga dan sisa makanan lebihan.

Sumber : Harian Metro

`Jangan lepaskan ikan bandaraya ke perairan umum’- DoF
PUTRAJAYA 15 Jan. – Jabatan Perikanan (DoF) menyarankan orang ramai agar tidak melepaskan atau membuang spesies ikan asing termasuk `ikan bandaraya’ ke perairan umum kerana ia boleh menyebabkan kerosakan habitat perikanan, persekitaran akuatik dan biodiversiti ikan air tawar di Malaysia.

Menurut DoF, ikan bandaraya didapati akan mengorek dasar sungai atau tebing yang menyebabkan kesan seperti air keruh, tebing sungai runtuh dan gangguan keseimbangan persekitaran akuatik.

Jelasnya, keadaan itu berlaku semasa ikan mencari makanan dan menjalani proses pembiakan.

“Ikan ini juga didapati memakan tumbuhan akuatik yang diperlukan bagi beberapa spesies ikan air tawar untuk habibat pembiakannya. Selain itu, ikan ini berperanan sebagai pemangsa kepada larva kan-ikan di habitat berkenaan dan pastinya akan menjejaskan kelestarian populasi ikan tempatan.

“Peningkatan populasi ikan ini juga memberi impak negatif kepada perikanan darat antaranya menjejaskan pendapatan nelayan sungai dengan penurunan stok ikan disebabkan oleh gangguan habibat dan pemangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan DoF itu bagi mengulas laporan mengenai kebimbangan pencipta alam sekitar mengenai kehadiran spesies ikan bandaraya yang menjejaskan ekosistem sungai.

DoF memberitahu, beberapa laporan kebanjiran ikan bandaraya telah menyebabkan kerugian kepada nelayan sungai seperti kerosakan pukat, tambahan masa bagi membuang ikan semasa aktiviti tangkapan ikan dijalankan dan tambahan kos disebabkan usaha-usaha yang lain.

“Sehubungan itu, DoF mencadangkan pindaan Kaedah-kaedah Peraturan Perikanan (sungai) bagi mengelakkan keadaan yang berterusan dan bagi menjamin kelestarian sumber perikanan darat terpelihara,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Komen Anda?