fbpx

Rumah Baru Harimau Selatan

Melihat semula gambar ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja merasmikan Majlis Pecah Tanah Bandar Sukan JDT. Majlis ini berlangsung pada sebelah pagi bertarikh 30 Januari 2016, 4 tahun yang lalu. Sejurus selepas majlis ini, Tunku kerap berkongsikan pelan biru apa yang akan dibangunkan oleh kelab bolasepak JDT. Salah satunya adalah Stadium Bolasepak JDT.

Waktu itu, idea Tunku diperkotak-katik oleh seluruh pengkritik bolasepak tempatan. Buah fikiran Tunku dipermainkan oleh mereka. Malah ada yang menyamakan pembikinan Stadium Bolasepak ibarat perbualan yang tidak akan jadi kenyataan, sama seperti yang berlaku di sebuah pasukan pantai timur. Ada bunyi-bunyian bahawa perkara ini mustahil untuk berlaku di dalam Malaysia. Seorang pemuda dipandang remeh dalam mengembalikan kegemilangan bolasepak Johor. Dalam tidak sedar, penghinaan ini lah yang memberikan kekuatan kepada Tunku untuk terus menerus maju ke hadapan.

Bulan demi bulan, tahun demi tahun. Seluruh Malaysia, malah seluruh dunia disajikan dengan perkembangan semasa pembikinan Stadium Bolasepak JDT. Sama ada di laman rasmi facebook Johor Southern Tigers, mahupun di akaun peribadi DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja. Setiap inci perkembangan stadium dikongsikan kepada semua. Daripada tanah lapang, ke terpacak nya tiang, ke pemasangan bentuk stadium. Seterusnya hiasan luaran stadium dan juga fasiliti di dalam stadium. Dan yang paling diutamakan sekali adalah kualiti padang bolasepak yang digunakan untuk stadium. Kalau kalian semua masih ingat, kerap gambar padang di muat naik untuk tatapan semua. Malah ada majlis khas untuk Tunku mencuba sendiri jenis rumput yang digunakan.

Dua hari lepas, Tunku masih muat naik perkembangan terakhir Stadium Bolasepak JDT di akaun instagram peribadi. Saya teruja, dan saya pasti semua tidak sabar untuk melihat di depan mata. Walaupun sebelum ini Tunku ada bertitah bahawa tidak akan ada lagi update tentang perkembangan stadium baru, tapi ternyata Tunku sendiri tidak sabar untuk berkongsikan berita gembira ini kepada semua rakyat, rakyat negeri Johor khasnya. Menjunjung kasih Tunku.

Ramai yang bertanya, apa yang akan ada di dalam stadium bolasepak JDT yang baru ini. Wahai semua penyokong, sekali lagi saya ingatkan, JDT akan sentiasa tampil dengan kejutan. Jangan terkejut sekiranya stadium baru ini dilengkapi dengan fasiliti ‘OKU friendly’. Jangan terkejut sekiranya pihak-pihak media mempunyai ruang khas yang serba lengkap untuk buat liputan perlawanan. Jangan terkejut sekiranya setiap ruang stadium mempunyai sudut fotografi untuk penyokong. Tidak perlu di war-war kan semuanya. Biarlah penyokong merasa sendiri debaran dan kejutan yang akan disampaikan. Negeri Johor memang akan sentiasa berlainan.

Tanggal 22 Februari 2020, merupakan detik bersejarah untuk kelab bolasepak JDT. Perasmian stadium baru kelab bolasepak JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim akan diadakan secara besar-besaran. Bertemakan ‘Legacy Lit’, kali ini kelab bolasepak JDT tampil dengan kelainan dengan menggunakan konsep Augmented Reality (AR). Ini yang kita semua nantikan. Satu-satunya stadium bolasepak di Malaysia yang tersergam indah dan lengkap dengan kemudahan stadium. Hanya di Johor.

Wahai penyokong JDT, berbangga lah. Khabarkan kepada semua tentang kewujudan Stadium Sultan Ibrahim. Beritahu semua bahawa ini rumah baru kita. Canangkan pada semua bahawa stadium ini merupakan stadium terbaik di Malaysia. Beritahu penyokong JDT yang lain supaya penuhkan stadium semasa hari perasmian ini. Mari lah semua penyokong, kita hadir untuk tunjukkan sokongan. Itu tanda terima kasih kita ke atas segala usaha yang telah dicurahkan oleh DYAM Tunku Mahkota kesayangan kita semua. Berbangga lah wahai semua penyokong JDT. Sabtu ini hari bersejarah kita semua. Jangan lupa temujanji kita.

Ingat, JDT akan sentiasa tampil dengan kejutan. Johor akan sentiasa jadi Johor.

“Being a JDT fans, it is all about Dream comes True”

Ikhlas dari seorang penyokong yang tidak sabar dan teruja,

Sumber : Farhan Khair

Komen Anda?