Riben Hijau Sempena Memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020

10 Oktober 2020 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan memakai riben hijau sempena memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020, yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun.

Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan merupakan Penaung Antarabangsa untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 setelah menerima undangan dari World Federation for Mental Health (Gabungan Badan-Badan Kesihatan Mental Sedunia) baru-baru ini.

Photo by Istana Negara

Naungan Diraja Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan ini adalah sehingga bulan Oktober 2021.

Riben hijau adalah simbol kesihatan mental antarabangsa dan sebagai tanda sokongan untuk kesedaran terhadap kesihatan mental dan penyebab kesihatan mental serta untuk membantu membina solidariti bagi komuniti kesihatan mental.

Photo by Istana Negara

Dalam perutusannya sebagai Penaung Antarabangsa, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan mengajak rakyat dan kerajaan di seluruh dunia untuk bersatu dalam usaha memartabatkan kesihatan mental kerana ianya merupakan tanggungjawab semua.

Katanya, meluangkan masa dan memberi perhatian, sokongan, kasih sayang serta belas kasihan di antara kita amatlah penting untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan mental yang lebih baik.

Photo by Istana Negara

Pelantikan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan sebagai Penaung Antarabangsa adalah bukti usaha-usaha murni Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, cara-cara perawatan dan cabaran polisi, yang mana usaha-usaha ini telah diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain.

Sumber : Istana Negara

Agong, permaisuri, anakanda beriben hijau

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, hari ini berkenan mengenakan riben hijau bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun.

Riben hijau ialah simbol kesihatan mental antarabangsa, selain sebagai tanda sokongan bagi kesedaran dan penyebab kesihatan mental serta membantu membina solidariti untuk komuniti itu.

Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, Tengku Puteri Iman Afzan ialah Penaung Antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020, selepas menerima undangan daripada Gabungan Badan-Badan Kesihatan Mental Sedunia, baru-baru ini.

Pelantikan Tengku Puteri Iman Afzan itu bukti usaha murni Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, cara-cara perawatan dan cabaran dasar.

Usaha itu diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain.

Naungan diraja Tengku Puteri Iman Afzan itu hingga Oktober 2021.

Menurut kenyataan itu, Tengku Puteri Iman Afzan dalam perutusannya sebagai Penaung Antarabangsa, mengajak rakyat dan kerajaan di seluruh dunia bersatu dalam usaha memartabatkan kesihatan mental kerana perkara itu tanggungjawab semua.

Anakanda Seri Paduka berdua itu turut dipetik bertitah, akan betapa pentingnya meluangkan masa dan memberi perhatian, sokongan, kasih sayang serta belas kasihan sesama kita, bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan mental yang lebih baik. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian