fbpx

Reda Dengan Ketentuan Allah, Kehilangan Anak & Menantu Saat Akhir Ke Makkah

Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada seluruh ahli keluarganya, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman

Innalillahiwainnailaihirajiun.

Ramainya yg datang memberikan penghormatan terakhir. Yang melawat, mensolatkan dan sedekahkan Al-fatihah untuk pasangan suami isteri yg maut kemalangan di Federal Highway pagi tadi. Untungnya. Mesti orangnya sangat baik. Alhamdulillah.

Semoga kedua2 di tempatkan dalam golongan orang yg soleh dan solehah. Arwah meninggalkan 2 orang anak yg masih kecil. Allahu…

Kedua2nya bukan kenalan kami, tapi kebetulan jenazah2 dibawa balik di surau berdekatan kami berniaga.

Al-fatihah

Sumber : Mahfuzah

Kehilangan anak, menantu saat akhir ke Makkah

PETALING JAYA: Walaupun berdepan dugaan hebat kehilangan anak dan menantu serentak dalam kemalangan jalan raya hari ini, Zakaria Tajuddin dan isteri, Halimah Mohd Isa, tetap akan berangkat ke Makkah bagi menunaikan haji, esok.

Malah, menantu pasangan itu, Nur Syuhadah Zaini, 31, sudah mengambil cuti esok, untuk menghantar dan mengucapkan selamat jalan kepada pasangan itu yang kini menginap di Kompleks Tabung Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai persediaan untuk berlepas ke Tanah Suci.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila Nur Syuhadah dan suaminya yang juga anak Zakaria, Muhammad Hamadi, 31, maut apabila motosikal berkuasa tinggi mereka naiki terbabas ketika cuba mengelak dua motosikal lain dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan, hala ke ibu negara, di sini, jam 8.30 pagi tadi.

Pasangan yang tinggal di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor itu, meninggal dunia di tempat kejadian. Mereka meninggalkan dua anak, Hani Safina, 2, dan Hanna Safiyyah, 6.

Kemalangan di lorong motosikal lebuh raya itu turut menyebabkan dua lagi penunggang motosikal parah.

Zakaria berkata, beliau reda dengan ketentuan Allah dan tetap akan berangkat ke Makkah bersama isterinya esok.

“Penerbangan dijangka jam 4 petang, semua urusan perlu dimulakan 11 pagi esok…apa yang terjadi hari ini semua perancangan Allah dan saya terima ketentuan Allah dengan reda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Ibu Nur Syuhadah, Fatimah Mohd Yatim, 60, yang turut ditemui Bernama pula berkata, anaknya itu mahu membawanya bersama bagi mengucapkan selamat jalan kepada Zakaria dan Halimah, yang juga besannya.

“Dia (Nur Syuhadah) memang sudah ambil cuti nak bawa saya bersama pergi hantar besan memandangkan saya tidak pernah ke sana, tempat baharu Tabung Haji itu.

“Semalam kami sarapan sama-sama sebab ibu bapa mentuanya nak tunai haji, maka Nur Syuhadah ajak kami bersarapan bersama dengan besan saya.

“Pagi ini saya dapat berita kami kehilangan mereka buat selama-lamanya,” katanya dalam nada sedih dan berlinangan air mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata motosikal jenis Honda ditunggang Muhammad Hamadi dan Nur Syuhadah yang membonceng, dipercayai merempuh sebuah motosikal jenis Suzuki yang sebelum itu terbabit dalam kemalangan di tengah jalan.

Beliau berkata, Muhammad Hamadi yang dipercayai tidak sempat mengelak terbabas sebelum merempuh penghadang di kiri jalan.

“Terdahulu, motosikal Suzuki terbabit dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha lalu terbabas di jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Azman berkata, penunggang motosikal Suzuki dan Yamaha, masing-masing dikenali sebagai Sainuddin Sukkur, 51, dan Mohd Saad Ismail, 45, kini ditempatkan di zon merah PPUM untuk rawatan lanjut.

Katanya, mayat pasangan itu turut dibawa ke PPUM untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber : Berita Harian

Menziarahi jenazah Allahyarham Muhammad Hamadi Zakaria dan Allahyarhamah Nur Syuhadah Zaini yang meninggal dunia dalam musibah jalan raya, pagi tadi.

Jenazah keduanya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Isyak.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keampunan buat kedua-duanya. Al-Fatehah.

Sumber : Najwan Halimi

Jenazah Hamadi, isteri selamat dikebumikan

JENAZAH suami isteri, Muhammad Hamadi Zakaria, 31 dan Nur Syuhadah Zaini, 31, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, malam tadi.

Kedua-dua mereka dikebumikan bersebelahan di antara satu sama lain, kira-kira 11 malam.

Kira-kira 100 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara serta kenalan kedua-dua pasangan berkenaan menghadiri upacara pengebumian itu.

Lebih menyayat hati, kedua-dua cahaya mata pasangan itu, Hana Safiyyah, 6 dan Hana Safina, turut hadir mengiringi jenazah kedua-dua insan tersayang mereka ke tanah perkuburan.

Anak kecil itu dipangku datuk serta ahli keluarga lain dan reaksi wajah mereka seolah-oleh mengerti bahawa tiada lagi tempat mengadu serta bermanja.

Komen Anda?