Rancang Perjalanan Anda Sempena Krismas & Tahun Baru 2020

JADUAL CADANGAN WAKTU PERJALANAN PLUS SEMPENA KRISMAS & TAHUN BAHARU 2020 BAGI MELANCARKAN PERJALANAN DI MUSIM PERAYAAN

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan di antara 21 Disember 2019 hingga 1 Januari 2020 ini sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kesesakan dan menyuraikan trafik di lebuh raya, kawasan rehat dan rawat dan plaza tol pada musim perayaan ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, “Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pelanggan dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi. Manakala, pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.”

“Sementara itu, orang ramai daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi. Manakala, bagi pelanggan lebuh raya daripada lain-lain negeri atau destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang,” tambah Zakaria.

“Kami amat menggalakkan pelanggan lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka berdasarkan jadual TTA yang dikeluarkan untuk menikmati perjalanan yang lebih lancar,” tambah beliau.

Jadual TTA sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020 juga boleh didapati menerusi laman web PLUS di www.plus.com.my.

Sementara itu, bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, PLUS menasihatkan agar pelanggan menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal, selain memastikan kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi.

PLUS juga menasihatkan pelanggan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Twitter PLUSTrafik, papantanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000. Mereka juga disarankan supaya merujuk aplikasi Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan ke destinasi masing-masing.

Kami hargai kerjasama anda dalam membantu mengurangkan kesesakan semasa perayaan Hari Natal dengan mengikuti jadual TTA yang disediakan. Semoga perjalanan anda selesa dan selamat sampai ke destinasi. Selamat menyambut Hari Natal.

Ikhlas daripada kami di PLUS.

Sumber : Plus Berhad

Komen Anda?