Rancang Perjalanan Anda, Plus Siap Sedia Pastikan Perjalanan Lancar Dan Selesa

PLUS SIAP SEDIA MEMASTIKAN PERJALANAN LANCAR DAN SELESA PADA MUSIM PERAYAAN TAHUN BAHARU CINA 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik daripada 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa kepada 2 juta kenderaan setiap hari pada musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang. Bagi menghadapi peningkatan trafik tersebut, PLUS telah merangka pelbagai pendekatan bagi membantu pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa termasuk mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka.

Dalam masa yang sama, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di lebuh raya di antara 22 Januari hingga 2 Februari 2020 serta menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik di lebuh raya.

Bagi memastikan keselamatan pelanggan terutama pada waktu puncak ini, PLUS akan mempertingkatkan kolaborasi bersama pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia, pasukan bomba dan penyelamat, ambulans, Jabatan Pertahanan Awam dan pasukan RELA di samping meningkatkan jumlah kakitangan PLUS untuk bersiap sedia memberikan bantuan kecemasan sepanjang musim perayaan tersebut. Lebih banyak tandas awam tambahan dan tangki air bergerak akan disediakan di beberapa lokasi di lebuh raya, termasuk menyediakan 70 kiosk tambah nilai layan diri (mesin SSK) bagi menampung jumlah trafik yang meningkat.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, ”Di PLUS, matlamat utama kami adalah menjaga pelanggan dengan baik sepanjang perjalanan serta mengutamakan keselamatan dan keselesaan mereka. Dengan menyediakan persiapan dari pelbagai aspek semasa musim perayaan ini, kami juga mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi membantu pelanggan membuat keputusan dalam merancang perjalanan mereka.”

Berdasarkan TTA Tahun Baharu Cina 2020 yang dikeluarkan, pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya lebih awal sebelum jam 9 pagi. Manakala, pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi seperti Ipoh, Negeri Sembilan dan Melaka disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 12 tengah hari. Bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur, PLUS menasihatkan semua pelanggan lebuh raya memasuki lebuh raya lebih awal sebelum jam 9 pagi bagi memastikan aliran trafik secara berperingkat bergerak daripada semua lokasi ke Lembah Klang.

Berdasarkan trend perjalanan pelanggan lebuhraya pada musim perayaan yang lalu serta analisa PLUS, pelanggan yang mengikuti TTA menikmati perjalanan yang lebih lancar. Analisa PLUS itu juga menunjukkan bahawa tempoh perjalanan bagi pelanggan lebuhraya yang memulakan perjalanan mereka lebih lewat dari yang disyorkan oleh TTA akan menghadapi pertambahan tempoh perjalanan di antara 30 peratus hingga 80 peratus. Ini bermaksud, pelanggan yang tidak mematuhi TTA berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih lama untuk perjalanan mereka.

“Oleh itu, bagi mengurangkan kesesakan disebabkan ‘pertembungan’ trafik di satu-satu lokasi kritikal di lebuhraya, PLUS mengeluarkan TTA untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan ‘pertembungan’ tersebut. Justeru, kami menyeru agar pelanggan merancang perjalanan mereka di musim perayaan yang akan datang berpandukan kepada TTA untuk menikmati perjalanan yang lebih selesa,” jelas Datuk Azman.

Pelanggan lebuh raya PLUS juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Aplikasi PLUS (boleh dimuat turun menerusi Apple App Store atau Google Play Store), Twitter PLUSTrafik, papantanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000. Mereka juga disarankan supaya menggunakan aplikasi perjalanan Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan sebelum memulakan perjalanan.

PLUS juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua dan perjalanan yang selamat bersama yang tersayang.

Komen Anda?