Ramalan, Hujan Lebat Di Negeri Pantai Timur, Johor

Hujan lebat diramal di negeri Pantai Timur, Johor

KUALA LUMPUR: Tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung dan Johor dijangka mengalami empat hingga enam episod hujan lebat bermula awal November hingga Januari depan, berikutan kedatangan musim Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jailan Simon, berkata ketika monsun berlaku, negeri berkenaan dijangka menerima peningkatan jumlah hujan sehingga 40 peratus.

“Monsun Timur Laut berlaku antara November hingga Mac. Biasanya, hujan akan bermula di Kelantan dan Terengganu pada November hingga Disember.

“Lazimnya, secara purata ketika monsun kedua negeri ini menerima hujan antara 300 hingga 650 milimeter (mm) sebulan berbanding bulan biasa hanya 200 hingga 300 mm.

“Bagi Pahang dan Johor, kita meramalkan hujan lebat pada Disember hingga Januari yang mana biasanya pada musim monsun, kedua-dua negeri ini akan menerima hujan antara 200 hingga 600 mm, berbanding bulan biasa hanya 150 hingga 300 mm,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Jailan berkata, episod hujan lebat dijangka berlaku di Sarawak pada Januari hingga Februari dengan pertambahan jumlah hujan daripada 200 hingga 400 mm sebulan pada bulan biasa kepada 300 hingga 700 mm sebulan pada musim tengkujuh.

Bagaimanapun, Jailan berkata, buat masa ini pihaknya tidak menjangkakan hujan luar biasa yang boleh menyebabkan banjir besar.

“Setakat ini kita hanya meramalkan hujan lebat yang lazim berlaku pada musim monsun. Kita tak jangka berlaku hujan luar biasa seperti 2014. Bagaimanapun, kita akan sentiasa membuat pemantauan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa dan amaran dikeluarkan pihaknya dan pihak berkuasa lain.

“Bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sering dinaiki air, saya nasihatkan mereka bersiap sedia lebih awal dengan memastikan segala dokumen disimpan di tempat yang selamat dan mudah diambil sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya kini dalam proses mempertingkatkan kesiapsiagaan termasuk aset dan keanggotaan mereka bagi menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, JBPM kini berada pada tahap 75 peratus dalam memastikan asetnya berfungsi manakala lebih 80 peratus daripada kira-kira 10,500 anggota bomba di seluruh negara bersiap sedia.

“Dari segi keanggotaan memang JBPM bersiap-siaga 24 jam tujuh hari seminggu dari segi akses dan logistik penyelamatan, termasuk bot-bot di setiap lokasi yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

“Kenderaan utiliti dan pengangkutan termasuk peralatan mencari serta menyelamat seluruh negara kita minta supaya berada dalam keadaan baik dan diselenggara pada peringkat ini,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya terus menyelaraskan tindakan dengan agensi seperti METMalaysia dan Jabatan Pengaliran dan Saliran, untuk memberi maklumat berguna serta respon kecemasan yang membabitkan kenaikan paras air dan hujan berlebihan.

Setakat ini, pihaknya belum membekukan cuti anggota tetapi akan berbuat demikian jika keadaan banjir kritikal. – BERNAMA

Facebook Comments