Polis Johor Buru Pemilik Kenderaan Menggunakan Nombor Pendaftaran Tidak Ikut Spesifikasi

Polis Johor buru pemilik plet ‘fancy’, mula dengan anggotanya

JOHOR BAHRU: Polis akan memburu pemilik kenderaan menggunakan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dengan memulakannya dalam kalangan pegawai dan anggotanya di negeri ini, bermula hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan pegawai, anggota polis serta agensi penguatkuasa lain.

“Kita akan mulakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor dulu. Kita bercakap soal masyarakat tetapi ada antara pegawai dan anggota polis yang tidak ikut peraturan.

“Sejak Januari hingga hari ini, sebanyak 9,985 saman dikeluarkan terhadap kesalahan menggunakan nombor kenderaan fancy.

“Antara alasan diberikan, mahukan keunikan, stail dan lain daripada lain yang dilakukan tidak kira siapa termasuk mat rempit serta ahli perniagaan yang mahu tunjuk status mereka menerusi nombor pendaftaran kenderaan fancy ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kaunter semakan dan tawaran diskaun saman 50 peratus Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, bermula hari ini hingga 31 Disember, polis akan menjalankan Ops Khas bagi kesalahan lampu isyarat dan nombor pendaftaran kenderaan fancy.

Beliau berkata, ia termasuk mengubah plet kenderaan kerana mahukan kelainan dari segi huruf dan nombor dengan cara merapat atau menjarakkannya hingga mengelirukan serta sukar dibaca.

“Kesannya, apabila penguatkuasa laju, kes langgar lari dan pembabitan dalam kes jenayah yang memerlukan pengecaman plet kenderaan (tetapi tidak dapat dilakukan), individu ini terlepas daripada tindakan undang-undang.

Pemilik nombor kenderaan fancy boleh dikenakan tindakan Seksyen 14 (4) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Rule 6 (1) LN173/69 dan Seksyen 108 (3) (F) APJ 1987.

Mengenai hari pertama tawaran diskaun saman, Ayob Khan berkata, seramai 1,050 individu membayar 2,300 saman dengan catatan kutipan RM152,720.

Katanya, mengikut statistik saman dari 2000 hingga 30 November lalu, hanya 27 peratus membayar saman membabitkan RM3.6 juta, manakala bakinya belum membayar RM9.6 juta saman keseluruhan.

“Saman layak mendapat diskaun kecuali berstatus bicara mahkamah, kesalahan Op Selamat tahun semasa, kemalangan tahun semasa, berstatus waran tangkap tahun semasa, membabitkan motolori 2018, 2019 dan 2020 serta berstatus No Compoundable (NC) 2018, 2019 dan 2020,” katanya.

PEMANTAUAN PROGRAM TAWARAN DISKAUN SAMAN TRAFIK KONTINJEN JOHOR

JohorBahru, 15 Disember 2020 – YDH CP DATO’ AYOB KHAN BIN MYDIN PITCHAY, Ketua Polis Johor telah menjalankan Pemantauan Program Tawaran Diskaun Saman Trafik Kontinjen Johor di Kaunter bayaran saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan IPD Johor Bahru Selatan.

Tujuan program ini diadakan adalah bagi menggalakkan orang ramai untuk membayar saman dengan tawaran diskaun sebanyak 50% mengikut kesalahan- kesalahan yang terpilih. Dengan adanya program ini pihak PDRM Kontinjen Johor dapat menyelesaikan saman-saman tertunggak serta meningkatkan kadar penyelesaian saman bagi Kontinjen Johor.

YDH Ketua Polis Johor menyeru orang ramai yang ingin berurusan di kaunter berkenaan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

Turut hadir YDH ACP MOHD PADZLI BIN MOHD ZAIN, Ketua Polis Daerah JBS, YDH ACP RUPIAH BINTI ABD WAHID, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, YDH SUPT KUMARASAN A/L MUNIANDY, Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Johor, YDH SUPT LIM JIT HUEY, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, YDH SUPT FARIZ AMMAR BIN ABDULLAH, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Pegawai-pegawai kanan, anggota polis , serta pengamal media.

SIDANG MEDIA KETUA POLIS JOHOR SEMPENA PROGRAM TAWARAN DISKAUN SAMAN TRAFIK KONTINJEN JOHOR

POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA 

 33 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?