fbpx

Plus Sumbang 10 Buah Honda CRV Kepada JPJ, Mantapkan Operasi Di Lebuhraya

PLUS SUMBANG 10 KENDERAAN PENGUATKUASA KEPADA JPJ UNTUK MANTAPKAN OPERASI DI LEBUHRAYA 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini menyerahkan 10 buah Honda CRV kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan di lebuh raya. Kenderaan-kenderaan penguatkuasa dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta tersebut diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Tuan Zamakhshari Hanipah oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail di Persada PLUS dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Haji Kamarudin Jaffar dan Pengerusi PLUS, Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim.

“Penyampaian kenderaan ini akan meningkatkan keselamatan di lebuh raya kami melalui penguatkuasaan secara kerap oleh JPJ. Penyerahan kenderaan kepada JPJ adalah inisiatif untuk membantu pihak berkuasa menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya,” jelas Azman.

Kerjasama PLUS-JPJ, serta agensi-agensi penguatkuasaan lain dan inisiatif keselamatan jalan raya yang dilaksanakan sendiri oleh PLUS, menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan. Sebanyak 14,532 kemalangan dilaporkan pada 2016 dan angka itu menyusut kepada 13,269 pada tahun 2018.

“Kami juga menyediakan 2 buah Stesen JPJ di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil dan Gunung Semanggol untuk membantu JPJ dalam menjalankan program advokasi dan keselamatan jalan raya di lebuh raya. Stesen Penguatkuasaan JPJ ketiga di R&R Pagoh akan dibuka tidak lama lagi,” tambah Azman.

Azman turut mengumumkan PLUS membiayai pemasangan 11 kamera AWAS tambahan di kawasan berisiko kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang.

“Kehadiran pihak berkuasa di lebuh raya dapat mengurangkan kesalahan lalu lintas seperti penyalahgunaan lorong kecemasan, pemanduan tidak berhemah dan melebihi had laju,” jelas Azman.

Komen Anda?