Piala Malaysia, Perlawanan Pertama Johor Darul Ta’zim Menentang Kuching FA

KEPUTUSAN MAJLIS UNDIAN TM PIALA MALAYSIA 2020 🏆

Perlawanan mana yang paling anda nantikan? 🤩

Photo by MFL

Laluan mudah buat JDT

Kuala Lumpur: Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan mudah ke suku akhir apabila diundi menentang pendatang baharu, Kuching FA pada pusingan pertama saingan itu yang akan bermula 6 November ini.

Skuad Harimau Selatan dijangka menurunkan pemain barisan kedua kerana pasukan utama akan berlepas ke Doha, Qatar untuk menghadapi pusingan zon timur Liga Juara-juara Konfederasi Bola Sepak Asia dari 18 November hingga 13 Disember ini.

Jika mara ke suku akhir, JDT selaku juara edisi 2017 dan 2019 itu akan bertemu Kuala Lumpur yang mendapat kemenangan percuma selepas diundi menentang Sabah yang terpaksa melupakan saingan Piala Malaysia kali ini kerana tidak mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan hingga 9 November ini.

Bagaimanapun, pertemuan paling sengit pada pusingan pertama dijangka membabitkan aksi juara lima kali Kedah dan juara empat kali Pahang. 

Seterusnya, pemenang aksi itu akan sekali lagi menghadapi laluan berliku apabila terpaksa bertemu pemenang di antara juara 33 kali Selangor dan Melaka yang masih memburu gelaran pertama.

Majlis undian yang diadakan secara tertutup dan disiarkan secara langsung di Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dan Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Undian itu turut menyaksikan juara lapan kali Perak menerima kunjungan Kelantan United FC, manakala juara Liga Premier 2020 dan juara empat kali Pulau Pinang berdepan Felda United FC yang bakal beraksi dalam saingan terakhir Liga Malaysia selepas gagal mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim 2021.

Juara 2001 Terengganu FC pula akan berdepan Petaling Jaya (PJ) City FC sementara UiTM FC diundi bertemu Kelantan.

Pusingan pertama dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 Nov, diikuti suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) dan final pada 22 November.

Saingan kejohanan bola sepak tertua di Asia itu terpaksa dipendekkan menerusi format kalah mati tanpa membabitkan perlawanan peringkat kumpulan dan aksi timbal balik pada musim ini susulan pandemik COVID-19.

Sebanyak 11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier (tidak termasuk pasukan ‘reserve’) layak beraksi pada Piala Malaysia musim ini.

Senarai penuh undian pusingan pertama Piala Malaysia 2020

1. Pulau Pinang lwn Felda United FC

2. UiTM FC lwn Kelantan

3. JDT lwn Kuching FA

4. Kuala Lumpur – mendapat ‘bye’

5. Terengganu FC lwn PJ City FC

6. Perak lwn Kelantan United FC

7. Kedah lwn Pahang

8. Selangor lwn Melaka

Sumber : Harian Metro

Photo by MFL

KUALA LUMPUR DAPAT SLOT BYE, PERTEMUAN KEDAH DAN PAHANG HIASI PERLAWANAN PERTAMA KALAH MATI TM PIALA MALAYSIA 2020

Perebutan kejuaraan TM Piala Malaysia bermula apabila 15 pasukan yang bertanding kini sudah boleh mencongak laluan masing-masing selepas selesai majlis undian TM Piala Malaysia 2020 di ibu pejabat Malaysian Football League (MFL) Kelana Jaya, hari ini.

Keputusan undian menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan wakil Liga Premier, Kuching FA tetapi Kuala Lumpur lebih tersenyum apabila mendapat slot ‘bye’ bagi aksi pusingan pertama pada 6, 7 dan 8 November ini.

Ini kerana Kuala Lumpur diundi bertemu Sabah yang tidak akan terlibat dalam saingan TM Piala Malaysia susulan tidak mendapat pelepasan keluar dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana mereka kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November ini.

Namun paling menarik untuk diperkatakan bagi pusingan pertama kalah mati tanpa format timbal balik musim ini ekoran pandemik COVID-19 adalah pertemuan Kedah dengan Pahang.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak dalam misi menebus kekecewaan tahun lalu tumpas 3-0 pada aksi final kepada JDT percaya, pertembungan dengan Pahang bakal menyajikan aksi sengit di mana tahun lalu mereka layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan apabila agregat terikat 8-8.

“Saya rasa bukan sahaja pemain tetapi peminat dari kedua-dua pasukan secara keseluruhan pasti menanti aksi ini kerana pertemuan yang paling menarik pada pusingan pertama. Kekalahan kami kepada Pahang pada CIMB Liga Super sebenarnya satu hikmah agar pemain saya tidak akan ambil sambil lewa dan memberikan yang terbaik pada aksi itu nanti,” katanya.

Sementara ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui anak buahnya sudah bersedia untuk mengharungi saingan TM Piala Malaysia yang menawarkan slot Piala AFC 2021.

“Prestasi Pahang sebenarnya berada di tahap memuaskan biarpun beberapa keputusan kurang menyebelahi kami, maka Piala Malaysia akan menjadi medan kebangkitan kami dan sasaran saya mahu membawa Pahang muncul juara,” katanya.

Sementara itu, keputusan undian lain menyaksikan Terengganu FC (TFC) bertemu PJ City FC disusuli juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor menentang Melaka, Pulau Pinang bertemu Felda United FC dan UiTM FC menentang Kelantan.

Bagi ketua jurulatih TFC Nafuzi Zain, beliau mengakui bukan tugas mudah untuk mereka melepasi halangan awal dalam misi memburu gelaran selepas juara 2001 itu tumpas lima kali di pentas final termasuk pada 2018.

“Rasanya semua tahu PJ City FC merupakan pasukan yang penuh kejutan, bagaimana mereka juga pernah beri cabaran sengit kepada pasukan hebat seperti JDT, jadi tidak mustahil mereka akan lakukan perkara sama kepada kami, dan pemain-pemain harus bersedia untuk aksi ini nanti,” katanya.

Bagi pengendali Selangor pula, Michael Feichtenbeiner bakal merasai pengalaman pertama membimbing pasukan juara 33 kali TM Piala Malaysia selepas mengambil alih tugas daripada B Satiananthan pada September lalu.

“Dalam pertandingan kalah mati, sesiapa sahaja boleh menang ke atas sesiapa dan kami mahu berikan tumpuan satu demi satu, dimulai dengan Melaka. Selangor akan tampil dengan banyak elemen berbeza pada kali ini kerana kami menyenaraikan beberapa pemain muda dari Selangor 2 dan pasukan ini nampak seimbang dari semua segi untuk bagi cabaran,” katanya.

Bagi ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, beliau mengimpikan sejarah baharu mampu dilakar anak buahnya.

“Memang undian yang sukar buat Melaka kerana akan bertemu Selangor tetapi kami akan tampil berikan yang terbaik. Harapan saya sudah tentu mahu mencatat sejarah buat Melaka yang belum pernah memenangi trofi ini semenjak dipertandingkan dari dahulu,” katanya.

Manakala pasukan yang akan membuat penampilan pertama di kejohanan tertua di Asia Tenggara, Kelantan United FC pula diundi berdepan juara 2018 Perak.

“Perak cukup baik daripada segala aspek, jika nak dibandingkan dengan Kelantan United, jadi turun sebagai pasukan bukan pilihan, mahu atau tidak, kita kena buat sehabis baik dan dalam bola sepak ini, apa-apa sahaja boleh jadi,” kata ketua jurulatih Kelantan United FC, Nazrul Erwan Makmor.

Majlis undian TM Piala Malaysia itu dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MFL Datuk Wira Yusoff Mahadi, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Dato’ Ab Ghani Hassan, serta wakil pemerhati iaitu Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Datuk Jasni Shafie dan Ketua Unit Perundangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Shahida Bashirah Hishamuddin.

TMPialaMalaysia2020

 20 Total Views,  1 Views Today

Komen Anda?