Piala Malaysia 2019, PKNP Menentang Johor Darul Ta’zim

PIALA MALAYSIA 2019 | PKNP FC VS JOHOR DARUL TA’ZIM

Perlawanan Piala Malaysia 2019 antara PKNP FC menentang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berlangsung Jumaat ini, 16 Ogos 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung jam 9.00 malam.

Ayuh berikan kata-kata semangat dan sokongan anda selaku penyokong untuk para pemain Harimau Selatan dalam aksi perlawanan ini. Luaskan Kuasamu Johor.

Usah selesa sangat: Mora

WALAUPUN Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal mengungguli Kumpulan B selepas mengharungi dua perlawanan tanpa kalah, ketua jurulatih Benjamin Mora tampak enggan terlalu selesa sebaliknya menuntut pemain JDT mengekalkan momentum kemenangan bagi menamatkan pusingan pertama dengan penuh bergaya.

Bagi Mora pertembungan menentang PKNP FC di Stadium Manjung, Perak, pada aksi saingan Piala Malaysia malam esok, begitu mencabar tatkala pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Mora beranggapan pertembungan itu pasti sengit memandang PKNP FC sudah mula menemui sentuhan kemenangan selepas menewaskan UiTM FC 2-0 pada aksi 8 Ogos lalu dan pastinya pasukan bertaraf kelab di Perak itu mahu mengejutkan JDT.

“Kenapa saya kata ia perlawanan sukar. Kerana pada aksi Liga Super, kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dan saya lihat PKNP FC memiliki barisan pemain yang cukup berkualiti dan mampu beri tentangan sengit kepada JDT.

“Mereka kerap menggunakan corak permainan fizikal dan gemar beraksi secara serangan balas pantas, kami harus berwaspada kerana jika kita buat kesilapan maka mudah untuk mereka menghukum.

“Bukan sahaja PKNP dan saya nampak apabila aksi memasuki perlawanan ketiga, rentak permainan tampak berbeza dan kami tidak boleh selesa dengan dua kemenangan yang diraih sebaliknya harus menggandakan usaha untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Mora juga tidak menolak ia bukan perlawanan mudah buat JDT sama ada beraksi di laman sendiri atau di tempat lawan apabila setiap pasukan dalam Kumpulan B mahu menewaskan skuad Harimau Selatan dan pemain JDT harus memberi tumpuan melebihi 100 peratus.

Beliau juga membayangkan tiada perubahan dalam kesebelasan utama apabila turun menentang PKNP FC dan tampak lega selepas kesemua pemainnya tidak mengalami kecederaan serius.

“Semua pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik dan mereka juga tampak begitu konsisten menjalani latihan sebelum bergerak ke Perak dan saya percaya pemain sudah sedia berdepan PKNP FC,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Facebook Comments