Pesakit Diminta Mengucap Syahadah Sebelum ‘Ditidurkan’

COVID-19: Pesakit diminta mengucap syahadah sebelum ‘ditidurkan’

KUALA LUMPUR: Seorang jururawat berkongsi detik seorang pesakit COVID-19 beragama Islam yang ‘ditidurkan’ ketika dalam rawatan di sebuah hospital.

Detik itu dikongsi oleh Shahrin Sahbudin dalam Facebook (FB) beliau yang disertakan dua keping gambar yang kemudiannya diulang siar dalam FB Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam hantaran itu, Shahrin menunjukkan gambar bagaimana seorang pesakit COVID-19 ‘ditidurkan’ dalam rawatan intubasi dengan dibantu oleh mesin pernafasan.

Beliau berkata, sebelum ‘ditidurkan’, pesakit berkenaan diminta mengucap dua kalimah syahadah dan bercakap buat kali terakhir melalui sidang video saja. 

“Mungkin itulah salam terakhir pada keluarga… dan ini adalah perjalanan terakhir seorang daripada pesakit COVID-19 aku. Moga ditempatkan bersama para solihin,” katanya dalam hantaran itu.

Shahrin yang bertugas di Hospital Sungai Buloh berkata, ‘pemergian’ pesakit ditemani petugas hospital bukan daripada ahli keluarga sendiri.

“Mati itu pasti… daripada ‘Dia’ kita datang dan kepada ‘Dia’ juga kita kembali,” katanya.

Hantaran Shahrin yang dikongsi dalam FB KKM itu dikongsi lebih 39,000 dan menerima 150,000 tanda suka.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Shahrin turut meminta maaf kerana ada pihak sensitif dengan hantarannya mengenai pesakit ‘ditidurkan’.

Beliau menjelaskan, maksud tidurkan pesakit adalah prosedur intubasi kerana pesakit COVID-19 berada di peringkat akhir rawatan yang memerlukan bantuan alat pernafasan untuk bernafas.

“Kenapa perlu mengucap dua kalimah syahadah sebab pesakit bagaikan bertarung nyawa.

“Apapun kami cuba sedaya upaya untuk setiap pesakit sihat dan kembali bersama keluarga tersayang, cuma ada masa Allah SWT lebih sayangkan pesakit,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Seorang pesakit COVID yang ditidurkan dan dibantu oleh mesin pernafasan. Prosedur sebelum ditidurkan kami akan minta pesakit mengucap dua kalimah syahadah dan bercakap buat kali terakhir melalui video call sahaja..mungkin itulah salam terakhir pada keluarga… Dan ini adalah perjalanan terakhir salah seorang pesakit COVID aku. Moga ditempatkan bersama para solihin. Pemergian ditemani bukan daripada ahli keluarga sendiri. Mati tu pasti… Daripada Dia kita datang dan kepada Dia juga kita kembali.

Kredit: Shahrin Sahbudin

Komen Anda?