fbpx

Permaisuri Johor Terus Bantu Rakyat Malaysia Dalam Pendidikan

DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah bertitah, Baginda akan terus melakukan yang terbaik bagi membantu pelajar-pelajar sekolah serta penuntut di universiti menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

“Apabila saya bertemu dengan pelajar dan bercakap dengan mereka, saya amat teruja dengan tahap keyakinan mereka dalam merealisasikan impian masing-masing.

“Ada yang menceritakan mengenai kerja separuh masa yang dilakukan, malah saya juga ada bertanyakan mengenai situasi keluarga mereka. Secara tidak langsung saya dapat melihat generasi muda yang mengambil berat ibu bapa serta keluarga mereka,” titah Baginda Permaisuri Johor kepada Royal Press Office.

Konsert Amal Ketulusan Hati yang julung kali dianjurkan bagi meraih dana program-program bantuan pendidikan untuk seluruh rakyat Malaysia berjaya meraih sebanyak RM1.25 juta.

Berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam ini (19 Oktober), konsert itu dianjurkan oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, di mana Baginda amat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta sentiasa menitikberatkan kepentingan pendidikan dalam kalangan rakyat.

Konsert pada malam ini, turut dijayakan dengan nyanyian yang disampaikan dua artis tempatan iaitu Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah, manakala YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim mempamerkan bakat bermain gitar elektrik dengan diiringi dua buah lagu.

Berangkat sama, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Kerabat Diraja Perak serta kerabat diraja dari negeri-negeri lain.

Komen Anda?