Permaisuri Johor Serikan Majlis Sambutan Hari Raya Yayasan Chow Kit

PERMAISURI JOHOR SERIKAN MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA YAYASAN CHOW KIT

DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan Chow Kit di Kuala Lumpur hari ini (16 Jun).

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda disambut meriah lebih 40 warga yayasan itu sebelum hadirin dijamu dalam majlis santapan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh Yayasan Warisan Johor.

Turut berangkat ke majlis itu, YAM Tunku Dato Seri Zain Al-Abidin ibni Tuanku Muhriz, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit.

Yayasan Chow Kit diasaskan oleh Dr Hartini Zainudin yang menyediakan pelbagai bantuan bagi kanak-kanak dan remaja di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Bermula dengan hanya empat kakitangan pada tahun 2006, Yayasan Chow Kit telah berkembang dan kini mempunyai dua pusat aktiviti serta satu pusat perlindungan bagi kanak-kanak dan remaja sehingga umur 18 tahun.

Ia menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, hab aktiviti remaja, serta program jangkauan bagi melatih dan melengkapkan anak-anak muda ini dengan kemahiran-kemahiran asas.

Facebook Comments