Permaisuri Johor Meninjau Perkembangan Projek Bangsa Johor Bahagia

PERMAISURI JOHOR MENINJAU PERKEMBANGAN PROJEK BANGSA JOHOR BAHAGIA DI RUMAH PANGSA BANDAR BARU KANGKAR PULAI

DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat melawat Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai, hari ini (13 Julai).

Bangsa Johor Bahagia merupakan projek ilham DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor bertujuan membantu meningkatkan kualiti hidup golongan miskin bandar dengan melibatkan penduduk pelbagai peringkat umur dalam aktiviti kemasyarakatan, sekaligus mengelakkan penularan gejala sosial.

Pada lawatan itu, Baginda Permaisuri Johor berkenan meninjau perkembangan semasa Program Bangsa Johor Bahagia, di mana penduduk di kawasan penempatan berkenaan telah dipilih sebagai projek komuniti perintis.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda disambut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Dato’ Adib Azhari Daud; isteri Setiausaha Kerajaan Johor, Datin Dr. Noor Azizah Abdul Latiff, serta penduduk yang diketuai Pengerusi KRT Bandar Baru Kangkar Pulai, Hazzil Kasmani.

Sempena keberangkatan Permaisuri Johor, Baginda turut diberi taklimat mengenai pelaksanaan program oleh para penduduk sebelum berkenan dibawa meninjau dan beramah mesra bersama penduduk di sekitar kawasan perumahan itu.

Program perintis itu dinaungi Yayasan Sultan Ibrahim Johor serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, dan dilaksanakan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama MBIP.

Sesi Ramah Mesra bersama Penduduk Rumah Pangsa Kangkar Pulai bersama DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor bersempena Projek Bangsa Johor Bahagia di Blok Kenari, Rumah Pangsa Kangkar Pulai.

? Tarikh : 13 Julai 2019 (Sabtu)

Facebook Comments