Permaisuri Johor Kurnia Sumbangan Makanan Kepada Petugas Perubatan Hospital

PERMAISURI JOHOR KURNIA SUMBANGAN MAKANAN KEPADA PETUGAS PERUBATAN HOSPITAL PERMAI DAN KELUARGA MISKIN

DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan mengurniakan sumbangan makanan kepada petugas-petugas HSA2 (Hospital Permai), Johor Bahru yang bertungkus-lumus dalam menjalankan tanggungjawab serta usaha-usaha pencegahan, pengesanan dan rawatan penyakit COVID-19.

Baginda yang juga Penasihat DiRaja Bulan Sabit Merah Malaysia bertitah, bantuan yang sama akan turut disampaikan kepada keluarga-keluarga miskin di sekitar daerah Johor Bahru.

“Saya amat memahami situasi pada masa sekarang di mana petugas-petugas perubatan bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab mereka dalam usaha membendung penularan COVID-19.

“Dengan bantuan disampaikan, ia sedikit sebanyak akan menjadi dorongan kepada mereka,” titah DYMM Permaisuri Johor kepada Royal Press Office (RPO) hari ini (18 Mac).

Bantuan diagihkan menerusi pasukan sukarelawan Jawatankuasa Kesihatan dan Khidmat Masyarakat Kebangsaan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Permaisuri Johor bertitah, berdasarkan situasi semasa, Baginda juga amat berharap masyarakat turut dapat membantu petugas perubatan atau keluarga miskin yang memerlukan bantuan makanan.

“Saya juga akan mengambil maklum dari semasa ke semasa, apakah keperluan lain yang masih diperlukan di hospital.

“Pada masa sama, kita di peringkat Bulan Sabit Merah Malaysia di Johor Bahru akan turut mendapatkan topeng muka dan cecair pembasmi kuman dari luar untuk masyarakat,” titah Permaisuri Johor.

Komen Anda?