fbpx

Perlekeh TMJ: Kamarul Letak Jawatan

ISKANDAR PUTERI 9 Jan. – Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah yang memuat naik kenyataan memperlekeh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru meletakkan jawatan sebagai ahli majlis. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, peletakan jawatan itu dibuat Mohammad Kamarul Ariffin semalam. 

Hong Pin yang juga Setiausaha DAP negeri turut memberitahu, pihaknya akan mencalonkan pengganti dalam mesyuarat parti yang akan diadakan hujung bulan ini. 

“Dia (Mohammad Kamarul Ariffin) telah meminta maaf kepada Tunku Ismail dan meletakkan jawatan sebagai ahli majlis, kami anggap perkara ini sudah selesai,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri pertandingan golf amal di Forest City Golf Resorts, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE

WARKAH TERBUKA MEMOHON AMPUN ATAS KETERLANJURAN BICARA

Kebawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Tunku,

Dengan penuh rasa rendah hati patik, Mohamad Kamarul Ariffin bin Harris Fadzillah, rakyat Johor yang bermastautin di Pontian, merafak sembah Kebawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Terlebih dahulu patik ingin memohon ampun Kebawah Duli DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan seluruh kerabat diraja Johor atas keterlanjuran bicara patik melalui kenyataan media sosial di Facebook pada 3 Januari 2019 yang lalu mengenai isu penukaran status pemilikan tanah di Pulau Kukup, Pontian kepada status Tanah Kesultanan.

Patik mengaku bahawa kenyataan tersebut menggunakan susunan bahasa yang tidak sesuai dan melanggar norma Bangsa Johor yang terkenal dengan sikap sopan santunnya.

Namun begitu, izinkan patik memberi penjelasan supaya segala fitnah yang telah dilontarkan terhadap patik berkenaaan isu ini dapat dirungkai dan diselesaikan secara bijaksana.

Untuk makluman Kebawah Duli DYAM Tunku, sebenarnya niat patik menulis kenyataan tersebut adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menarik perhatian Kebawah Duli DYAM Tunku sendiri mengenai isu pertukaran status pemilikan Pulau Kukup, Pontian kepada status Tanah Kesultanan.

Tidak ada sekelumit pun niat di hati patik ingin menyinggung perasaan apatah lagi ingin menderhaka kepada Kebawah Duli DYAM Tunku serta seluruh kerabat diraja Johor, yang amat disayangi rakyat jelata.

Patik sekadar menyampaikan kebimbangan sebahagian rakyat Johor mengenai Taman Negara Pulau Kukup yang juga merupakan tapak pemeliharaan hutan paya bakau di bawah Perjanjian Ramsar.

Pada pandangan patik, tidak ada keperluan mendesak agar tanah di Pulau Kukup ditukarkan status pemilikannya sebagai Tanah Kesultanan. Patik mewakili sebahagian rakyat Johor yang berasa bimbang akan perkara ini dan memerlukan jaminan bahawa tidak akan ada sebarang pembangunan yang akan merosakkan ekosistem dijalankan di atas tapak tersebut.

Justeru itu, patik sekali lagi ingin memohon ampun dan maaf di atas keterlanjuran kata-kata patik yang telah menyinggung perasaan kerabat diraja Johor khususnya terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim serta Kebawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Sekian, semoga Kebawah Duli DYAM Tunku Mahkota Johor serta seluruh kerabat diraja Johor sentiasa dilindungi dan dipelihara oleh Allah S.W.T.

Mohamad Kamarul Ariffin bin Harris Fadzilllah

Pontian, Johor Darul Takzim.

Selain Itu….

KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS NEGARA

TANGKAPAN KE ATAS TIGA (3) SUSPEK KERANA MENGHINA SULTAN MUHAMMAD V DI MEDIA SOSIAL

Komen Anda?
Related Post
Saya Bina Empayar JDT Ini Adalah Untuk Anak Cucu Kita – DYAM Tunku Mahkota Ismail

SAYA BINA EMPAYAR JDT INI ADALAH UNTUK ANAK CUCU CICIT KITA – DYAM TMJ Sambil Read more

TMJ Berangkat Menyusuri Sungai Skudai Meninjau Dan Memantau Persekitaran

"Daulat Tuanku" DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja berangkat menyusuri Sungai Skudai, Read more

TMJ Berangkat Ke Felda Ayer Hitam, Kluang Johor

DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja berangkat ke Felda Ayer Hitam, Kluang, Read more

Tunku Mahkota Johor Dilantik Sebagai Pemangku Raja Johor

"Daulat Tuanku" TUNKU MAHKOTA JOHOR DILANTIK SEBAGAI PEMANGKU RAJA DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Read more